Betulkan Teras Dan Dasar Percukaian Negara

1698

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA NERUS – Kerajaan Umno dan Barisan Nasional sepatutnya membetulkan teras percukaian negara khususnya berkaitan GST.

Ahli Parlimen Kuala Nerus , Yang Berhormat Dato Dr Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, saiz barangan yang dikenakan cukai sepatutnya dikecilkan bukannya diperbesarkan dan diperluaskan.

“Apabila kerajaan berhasrat memperluaskan cukai GST kepada 60 jenis barangan lagi walaupun ditangguhkan kemudiannya,

“Ia menunjukkan kerajaan bermasalah dalam menentukan hala tuju dan dasar percukaian”, ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan kerajaan mengumumkan akan mengenakan cukai GST keatas 60 barangan.

“Konsep cukai barangan ialah sebagai sumber kewangan kedua negara di saat memerlukan,

“Maka sumber yang diperlukan di saat memerlukan perlu disempitkan ruang cakupannya bagi mengelakkan bebanan tambahan kepada kewangan rakyat”, ujarnya.

Justeru katanya, kerajaan perlu membetulkan aspek pengurusan perbelanjaan supaya lebih berhemah berbanding memberi fokus membesarkan saiz pendapatan menerusi cukai.

Menurutnya, PAS tetap konsistan menegaskan bahawa GST adalah cukai berdasarkan perbelanjaan yang tidak patuh Syariah kerana dikenakan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan miskin.

“Masalah kerajaan BN ialah pada membelanjakan pendapatan yang boros bukannya pada menjana pendapatan yang tidak cukup,

“Anak kunci kejayaan pengurusan kewangan bukan hanya pada kejayaan membina sumber tetapi lebih kepada kejayaan mengurus perbelanjaan”, tegas beliau.