Oleh : Suhaimi Taib
KUALA TERENGGANU – PAS menyifatkan bayaran ‘profesional fees’ sebanyak RM35 ribu untuk pemilik tanah yang ingin membuat pecah sempadan tanahnya lebih dari lima lot sebagai membebankan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata dulu bayaran tersebut dikenakan kepada pemilik tanah yang membuat pecahan lot sebanyak lima ekar baharulah dikenakan bayaran tersebut.
Beliau tidak menafikan kerajaan negeri boleh melaksanakan peraturan bayaran tersebut itu dibawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Bagaimanapun bayaran berkenaan sangat membebankan rakyat dan kerajaan sepatutnya membuat pertimbangan semula sekaligus kembali kepada kaedah pembayaran lama untuk tujuan itu.
“apa justifikasi kita sehingga mahu membebankan rakyat seperti ini? RM35,000 itu bayaran asas ada lagi tambahan-tambahan,
“maknanya apabila kita nak pecah lot satu ekar kita perlu ada RM35,000 dulu tidaktermasuk yang (bayaran) biasa, dan ini membebankan rakyat,”
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan lisan pada Penggal Kelima Persidangan ke- 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) itu di sini pada pagi Rabu.
Dalam persidangan dewan itu beiiau ingin tahu sama ada benar kerajaan telah mebuat peraturan bahawa setiap permohonan pecah sempadan tanah melebihi empat lot yang dikemukakan kepada pejabat tanah hendaklah mendapat ulasan daripada pegawai perancang bertauliah.
Ketika menjawab soalan lisan berkenaan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri menetapkan bayaran tersebut dengan mengambil kira semua perkara termasuk tujuan tanah itu digunapakai selepas pecahan lot itu dibuat.
Ketika ditemui di luar Persidangan DUN itu Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri hanya melaksanakan peraturan yang ditetapkan oleh akta berkaitan yang sudah lama diwartakan.











