Guru-guru di sekolah rendah Islam kelolaan PAS (DAR) umpama penggilap kepada permata ummah di masa hadapan kerana jasa dan pengorbanan gigih mereka dalam menyediakan pelajar bukan sahaja dalam bidang agama malah juga akademik.
Dengan gaji yang agak rendah berbanding dengan guru-guru di sekolah-sekolah kerajaan, tidak menjadi penghalang bagi mereka memberikan komitmen yang tinggi dalam melahirkan pelajar-pelajar ini.
Akan tetapi, kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, matlamat guru-guru itu ialah mendidik pelajar-pelajar mereka, bukan untuk kejayaan dunia sahaja, tetapi jauh lebih utama dari itu, mereka ditekankan untuk mendidik pelajar-pelajar menjadi orang yang beriman dan soleh.


“Tujuan utama mendidik ini mesti ada dalam diri setiap guru-guru DAR.
“Kita mungkin bukan seorang pemimpin, tetapi kita insyaAllah akan bakal melahirkan pemimpin,” ujar beliau memberikan semangat dan keyakinan kepada peserta-peserta.
Beliau yang juga Ketua Lajnah Persekolahan Dewan Ulamak PAS Terengganu, berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Perguruan Madrasah DAR Negeri Terengganu, di Dar At-Taqwa Batu Enam, disini pada Ahad 27 November
Seterusnya beliau juga memuji para guru-guru DAR yang tidak membandingkan kekurangan dari semua sudut berbanding dengan fasiliti atau gaji di sekolah-sekolah kerajaan kerana mempunyai peruntukan yang banyak berbanding DAR.


Beliau menegaskan keikhlasan dalam menerima segala kekurangan itu penting bagi guru-guru DAR meneruskan perkhidmatan dan menasihatkan agar jangan berada di DAR jika hanya mahu mengisi kekosongan kerja kerana DAR tidak menjanjikan kemewahan.
“Jangan masuk sini (DAR) kerana tiada kerja lain, tetapi masuk ke sini tujuan niat untuk Allah kerana di sini, tidak menjanjikan kemewahan dunia.
Duit kita mungkin kurang, tetapi dengan keikhlasan kita, insyaAllah yakin kepada Allah yang akan memberikan pahala,” tegas beliau.
Kursus selama dua hari yang bermula Ahad itu, dihadiri oleh seramai kira-kira 60 orang guru-guru DAR dari seluruh Terengganu.
DAR adalah satu perkataan arab yang bermaksud negeri yang dikiaskan kepada komuniti sekolah yang digunakan oleh PAS sebagai perkataan rasmi bagi sekolah-sekolah kelolaan PAS.


























