SETIU – Pengerusi Masjid Lama Jabi, Tengku Nawawi Tengku Abdul Qadir meminta sesiapa yang mendakwa, solat Jumaat yang didirikan di Masjid Lama Jabi adalah solat Jumaat tanpa kebenaran supaya memperbetulkan dakwaan tersebut.
Beliau berkata, Masjid tersebut yang juga dikenali sebagai Masjid Al-Ihsan Al-Idrisi adalah bertaraf sebuah ‘Masjid Lama’ yang mempunyai kebenaran mendirikan solat Jumaat sejak lebih 30 tahun yang lalu.


“Solat Jumaat di Masjid Lama ini tak pernah berhenti dikerjakan walaupun masjid baru telah ada. Ianya pula tak pernah menjadi isu dan masalah kepada masyarakat Jabi,”jelasnya
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan kerajaan dan tohmahan ADUN Jabi Mohd Iskandar bin Jaafar dalam Persidangan DUN Terengganu pada hari ini, 23 November 2016.
Soalan asal berkaitan masjid yang mendirikan solat Jumaat tanpa kebenaran dikemukakan oleh wakil wakil BN Kota Putera Mohd Mahdi Musa.


Lalu katanya, beliau selaku Pengerusi Masjid Jabi, dipanggil untuk satu pertemuan di Pejabat Agama Daerah Besut pada 4 September 2013.
“Ekoran dari pertemuan tersebut, pada 27 Oktober 2015 pihak Pejabat Agama Daerah Besut meminta Pengerusi Masjid menyerahkan senarai AJK Masjid, senarai Imam dan Bilal serta senarai nama ahli qaryah wajib Jumaat sebagai proses untuk ditauliahkan semula.
“Semua arahan Pejabat Agama Daerah Besut ini telah dipatuhi oleh Pengerusi Masjid dan senarai yang diminta telah diserahkan,”tegasnya.
Tengku Nawawi yang juga dikenali sebagai ‘Pak Ku Nawi’ berharap agar perkara ini diselesaikan dalam bidang kuasa MAIDAM tanpa melibatkan campur tangan politik.


Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Tindakan DUN Jabi Dr. Azman Ibarahim berkata, isu masjid perlu diselesaikan mengikut lunas-lunas hukum syarak.
“Kalau nak sekat silakan……….andai Jumaat yang dikerjakan tak menepati hukum syarak. Jika sebaliknya maka Pertimbangan keperluan masyarakat setempat perlu diambil kira untuk membenarkannya.
“Sepatutnya kerajaan berterima kasih atas usaha rakyat membina masjid bagi meninggikan syariat Islam,”tegasnya.
Menurutnya, beliau dimaklumkan, ada pihak yang masih menjadikan soal masjid sebagai ‘modal politik’ dan pihak itulah yang kuat mendesak supaya solat Jumaat dihalang di masjid lama itu


























