KUALA TERENGGANU – Isu masjid tanpa kebenaran bagi mendirikan solat Jumaat dikitar semula oleh wakil Kota Putera (BN) Mohd Mahdi Musa ketika bangun menyampaikan soalan beliau pada sesi soal jawab di sidang Dun Terengganu.


Namun wakil kerajaan, Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Komunikasi dan Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib memberikan jawapan yang baik dengan tidak menimbulkan polemik diantara wakil-wakil rakyat.
Soalan beliau berbunyi berapakah bilangan masjid yang tidak diwartakan atau tidak disahkan oleh kerajaan negeri (masjid binaan NGO) di seluruh negeri Terengganu?
Menjawab soalan itu, Ghazali berkata bahawa hanya tiga buah masjid yang tidak diktiraf oleh kerajaan negeri bagi seluruh negeri Terengganu.
Mahdi kemudian bangun bagi bertanya apakah tindakan kerajaan terhadap masjid-masjid yang mendirikan solat Jumaat tanpa kebenaran tersebut yang konon menurut beliau bagi membendung perpecahan masyarakat.
Tetapi menurut Ghazali, perbincangan Majis Agama Negeri bersetuju untuk meneliti dan mengambil kira pandangan majoriti masyarakat setempat kedudukan masjid-masjid tersebut dan dengan beberapa pihak bagi membenarkan solat Jumaat dilakukan.


Ghazali kemudiannya menjelaskan keputusan akhir terletak kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) bagi menentukannya, tanpa beliau memaklumkan hasil kajian itu tetapi berjanji kerajaan akan benarkan jika keputusan itu membenarkan.
Wakil Jabi, Mohd Iskandar Jaafar kemudian bangun mendakwa bahawa kesemua masjid-masjid ini adalah bermula daripada sebuah markas PAS yang kemudiannya apabila ramai orang datang, kemudiannya dijadikan masjid untuk solat Jumaat.
Beliau kemudiannya mencadangkan agar penyelesaian itu dibuat juga dengan cara politik, yang langsung membuatkan Ustaz Satiful bangun menyoal, adakah dengan cara seperti merobohkan Masjid Bujal yang Umno lakukan dahulu.


Pengarah Majlis Tindakan DUN Jabi, Dr Azman Ibrahim ketika diminta mengulas isu ini menjawab, ini isu lapuk dan ketinggalan keretapi.
“Individu yang membangkitkan semula perkara ini sebenarnya ketinggalan maklumat kerana ketiga-tiga masjid yang dimaksudkan dalam proses urusan dengan Pejabat Agama untuk penyelesaian.
Tak perlu nak panaskan isu yang sebenarnya tiada isu pun,” jelas beliau sinis.

























