Benarkah Tuan Guru Sudah Berubah?

1660

oleh : Salam Muhammad

Ketika keluar dari masjid, seorang kenalanku sempat menyapa aku. Beliau seorang ahli PAS namun tidak terlibat secara aktif dalam jamaah PAS. Kelibatnya hanya selalu aku bersua ketika berjamaah di surau hijau atau ceramah PAS. Dalam perbualan singkat kerana aku ada urusan yang lain, beliau sempat melontarkan suatu pertanyaan dan juga pandangannya terhadap sikap PAS terhadap UMNO sekarang.

Beliau mulakan dengan pertanyaan tentang isu persempadanan semula kawasan pilihanraya sekarang. Beliau tidak berpuas hati kerana SPR melakukan kerja yang jelas menampakkan ‘tangan ghaib UMNO’. Katanya masakan SPR berlaku begitu semberono dan dangkal. Justifikasi SPR meminda sempadan amat jelas tidak masuk akal. Namun dek penguasa UMNO yang menjadi Tuan ada di belakang, mereka terpaksa buat kerja yang dimaki oleh pengundi.

Rupa-rupanya isu yang hendak dibangkitkan oleh kenalanku itu bukan sekadar kerja jahat UMNO dan SPR itu. Ternyata kemudiannya beliau meluahkan rasa kesalnya terhadap Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) dan PAS. Katanya,”Kenapa kita nak berbaik sangat dengan UMNO sekarang ni. UMNO sampai bila-bila pun jahat selagi tolak Islam.”

Nah, sekarang saya rasa pembaca boleh faham cerita pokok tulisan ini. Mari kita tolak PAN dan rakan pembangkang ketepi. Kita cukup faham PAN dan rakan pembangkang bersarang fitnah. Mari kita mendekati ahli kita yang masih istiqamah walaupun jiwa mereka sedikit tergugat dengan halatuju PAS sekarang.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera(BPMS) adalah suatu pendekatan yang menepati konsep politik Islam. Budaya itu menggambarkan keluhuran PAS sebagai sebuah gerakan politik yang beradab dan berpengalaman. Namun bagi ahli kebanyakan, pendekatan itu sesuatu yang kelihatan kontradik dengan sikap dan gaya PAS sebelum PRU13 yang lalu. Anjakan paradigmanya seolah-olah suatu revolusi; bukan evolusi.

Bagi kenalanku tadi, beliau nampaknya meragui BPMS seperti mana sebilangan ahli dan penyokong PAS. Namun yang mengusik sensitivitinya ialah, “ mengapa kini PAS tidak menyerang UMNO seperti dahulu. Kenapa kini Haji Hadi tidak lagi menegur, mengkritik dan menyerang kebejatan UMNO dan Najib?”

Nah, kini mindaku terusik. Maka kemudiannya mindaku menjadi bagai komputer yang sedang ‘scanning’ politik Tuan Guru kebelakangan ini. Di sini aku mohon berbeza pendapat sebagai suatu ‘brainstorming’ politik. Sebagai peminat politik, aku banyak membaca isu politik semasa di mana sebahagiannya menjadi idea kepadaku untuk menulis. Kerana banyak membaca itulah aku istiqamah dengan PAS kerana aku dapat mengikuti susur-galur kemelut dalam kalangan parti dan pembangkang sekarang.

titmKonklusi yang dapat aku rumuskan ialah memang aku sendiri tidak lagi mendengar Tuan Guru menyerang regim UMNO dan kebobrokan Najib. Tugas itu hanya diambil peranan oleh orang nombor dua parti, iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Timbalan Presiden. Hanya beliau dan beberapa pemimpin lain yang melepaskan peluru untuk menyerang kedurjanaan politik penguasa.
Mengapa begini jadinya? Sedangkan watak Presidenlah merupakan perwatakan parti. Apakah BPMS itu akhirnya difahami oleh ahli terbanyak sebagai bersekongkol dengan UMNO? Apakah nanti kita akan menyalahkan ahli dan penyokong jika mereka salah faham akan konsep BPMS itu?

Kenapa kini tidak kedengaran lagi Tuan Guru menegur kelemahan Najib dalam mentadbir negara? Kenapa Tuan Guru tidak menyerang lagi UMNO seperti sebelum PRU13 dulu? Adakah semua keburukan Najib sekarang adalah semuanya andaian, bohong dan fitnah? Apakah UMNO sudah lunak dengan PAS sehingga tiada lagi ahli PAS menjadi mangsa politik UMNO/BN? Adakah UMNO sudah sudi andai rakyat memilih PAS untuk menggantinya sebagai pemerintah?

Demikian senario politik Tuan Guru dan PAS hari ini. Itulah pandanganku dan sebahagian ahli dan penyokong PAS. Tetapi pembaca mesti faham; siapa aku dan siapa kita? Adakah kita lebih baik ilmu politik berbanding Tuan Guru? Adakah kita lebih berpengalaman menguruskan isu berbanding Tuan Guru? Adakah kita yang lebih dekat dengan Allah berbanding Tuan Guru? Dan adakah kita yang lebih kuat bekerja berbanding Tuan Guru?

Ketika kita mempertikaikan Tuan Guru, adakah di kampung masing-masing kitalah pejuang yang tidak cukup tidur kerana urusan parti, seperti Tuan Guru? Ketika kita meremehkan usaha Tuan Guru adakah kita meninggalkan keseronokan dan kemewahan hidup demi perjuangan, seperti Tuan Guru? Ketika kita sinis terhadap pendekatan Tuan Guru, adakah kita selalu bermunajat kepada Allah memohon taufik dan hidayah dalam menyelesaikan kemelut ummah, seperti Tuan Guru? Ketika kita merasakan Tuan Guru tak betul, melalui siapakah kita kenal politik Islam selama ini?

Siapalah kita, kalau di kampung-kampung kita sentiasa menolak tugas dan harapan parti dengan pelbagai alasan. Siapalah kita, kalau kita lebih selesa untuk tidak mengambil tahu tentang kekurangan tenaga dan masalah kewangan dalam jamaah berhampiran kita. Siapalah kita kalau mahu bergoyang kaki sekadar komen itu ini di kedai kopi. Siapalah kita walaupun seorang pegawai andai kepentingan jawatan , kepeluan perut dan keluarga dijaga tetapi jamaah dibiarkan bercempera. Motif tulisanku adalah untuk meletakkan cermin di wajah sendiri.