Persempadanan Semula SPR; Umno-BN ‘Mencuri’ Di Siang Hari

1142

KUALA TERENGGANU – Umno dalam keadaan sangat terdesak telah mempergunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia bagi memenangi kembali kerusi-kerusi yang mereka tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, menyifatkan tindakan pecah sempadan didalangi oleh Umno itu, ibarat ‘mencuri’ disiang hari.

Ia kerana, kata beliau, persempadanan semula itu hanya menyasarkan DUN-DUN yang dimenangi oleh pembangkang khususnya PAS di Terengganu.

Oleh itu, menurutnya, ia memberi kesan kepada kawasan dimenangi PAS, sebaliknya tiada perubahan pada kawasan yang dimenangi Umno.

“PAS Terengganu membuat bantahan secara keseluruhan kerana tujuan utama SPR dalam menentukan pecah sempadan yang dilakukan itu tidak menepati kehendak sebenar tujuan dilakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Sebenarnya, itu bagi menjamin kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja dengan menggunakan SPR. Jadi, kita (PAS) agak kecewa kerana SPR digunakan untuk memastikan kemenangan Umno-BN pada PRU14 akan datang.

sidang media 2201916a (2)“Ini kerana, bukan semua DUN terlibat tetapi hanya melibatkan kerusi-kerusi DUN yang dimenangi oleh parti pembangkang dan PAS secara khususnya. Dikebanyakkan peti undi yang dimenangi oleh PAS dibuang keluar dan undi-undi yang majoriti BN dimasukkan ke dalam DUN tertentu.

“Di DUN-DUN yang dimenangi oleh BN tidak ada apa-apa perubahan. Jadi nampak apa yang dilakukan itu bermatlamat untuk kepentingan Umno. Ini suatu tindakan yang tidak telus.

“Ini bukan ‘mencuri’ ditengah malam tapi Umno-BN mencuri disiang hari,” tegasnya pada satu sidang media di pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Dr Alias Razak, Pengarah Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN) PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran GK.

Namun, kata Ustaz Satiful Bahri bahawa PAS akan menggunakan saluran demokrasi yang dibenarkan bagi membantah cadangan persempadanan SPR tersebut.

Katanya, pihak SPR hendaklah mengambil perhatian dengan bantahan rakyat agar dilihat badan berkenaan adil dan telus.
“Apa pun kita (PAS) akan mengambil ruang demokrasi terlebih dahulu dengan membuat bantahan disemua peringkat.

“Namun, kita harap hak rakyat dan hak pengundi dalam sebuah negara demokrasi ini bukan sahaja adil tetapi dilihat adil untuk rakyat memilih siapa yang bakal dipilih untuk memimpin mereka.

“Harap pihak SPR mengambil perhatian dengan bantahan itu dan jika tidak ada jalan penyelesaian, kita (PAS) akan mengambil pendekatan lain mengikut saluran-saluran tertentu.

“Kami mendapat maklumat isu persempadanan semula ini tidak akan dibawa ke dewan (Dewan Undangan Negeri). Jika dibawa ke sidang DUN adalah juga hak kami (wakil rakyat) untuk bersuara.

“Dimaklumkan selepas sahaja bantahan dibuat pihak SPR boleh terus mewartakan macam itu sahaja. Jadi apa hak kami dalam isu ini.

“Isu ini amat penting kerana bukan hanya melibatkan SPR di Terengganu tetapi di beberapa buah negeri lain seluruh negara,” jelasnya kepada wakil media.

Pesuruhjaya PAS itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka tetap yakin dan bersemangat bagi membawa PAS mencapai kemenangan pada PRU14, kelak.

“Badan Perhubungan PAS (BPPNT) negeri akan bekerja kuat bagi mempastikan kemenangan PAS pada PRU14 akan datang, Insya’Allah.

“Itu (persempadanan) tidak menjejaskan semangat kami (PAS) tetapi dilihat Umno amat terdesak sehingga terpaksa menggunakan pihak SPR untuk menjamin kemenangan mereka (BN),” ujarnya.

https://youtu.be/kIOV54CAQ_Q