Saya terpanggil bagi memberikan sedikit pandangan kepada beberapa kejadian jenayah berat yang berlaku beberapa hari lalu. Pertamanya ucapan takziah kepada pengurusan Sabasun yang dilaporkan hasil jualan mereka telah dirompak. Keduanya kepada RHB Bank Dungun yang turut mengalami nasib yang sama selang sehari setelah rompakan di Sabasun.


Apa yang menjadi tarikan perhatian PAS Terengganu ialah saban tahun, kadar jenayah semakin meningkat. Peningkatan jenayah ini, walaupun telah dilakukan program pembasmian, pembenterasan dan banyak lagi program-program seumpamanya oleh pihak berwajib, namun hasilnya tidak memberangsangkan. Begitu banyak biaya bagi membenteras jenayah termasuklah juga kos bagi memenjarakan penjenayah yang akhirnya bukan akhlak yang baik dapat dibentuk, sebaliknya mereka memperolehi ilmu baru untuk merompak dengan lebih jayanya, hasil tunjuk ajar senior-senior mereka di dalam penjara.
Dalam pada semua ahli masyarakat dari peringkat rendah kepada peringkat tertinggi ingin kembali kepada cara pendidikan Islam yang telah dijanjikan Allah akan keberkesanan pencegahan jenayah, seorang Timbalan Menteri ketika menyampaikan ucapan di Mesyuarat Tahunan Guru-Guru Agama Malaysia Barat kali ke-39 di Kota Bharu, sebaliknya memilih untuk meragui akan sistem sekolah pondok kerana mempercayai akan ideologi keganasan seperti Daesh, IS dan militant-militan lain datangnya dari sukatan pelajaran sekolah pondok. Beginilah antara pemikiran sekular Umno yang sentiasa melihat Islam itu sebagai ganas apatah lagi jika pihak yang menjulang Islam itu tidak menyokong mereka, maka ugutan-ugutan sebegini akan mula timbul.


Dewan Ulamak PAS Terengganu baru-baru ini telah mengadakan beberapa siri lawatan ke sekolah-sekolah pondok di Terengganu dan mendapati ramai pelajar-pelajar yang dikatakan agak bermasalah tinggal di sana dan alhamdulillah telah berjaya dipulihkan dengan menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan agama Islam. Ini diakui sendiri oleh pengajar-pengajar sekolah pondok terlibat. Bukti yang lain, umum sedia maklum terutamanya di sebelah pantai timur, apabila seseorang anak itu bermasalah, maka ibu bapa akan mencari sekolah pondok bagi memulihkan mereka. Malangnya sekolah-sekolah ini tidak mendapat bantuan yang sewajarnya dari pihak kerajaan walaupun sudah beberapa kali dijanjikan bantuan seperti zakat dan sebagainya.


PAS Terengganu juga yakin dengan seteguh-teguhnya akan jalan yang terbaik bagi menangani permasalahan jenayah seperti ini adalah dengan cara memperkuatkan aqidah manusia dan juga memperkenalkan undang-undang Islam yang terbukti berjaya menggerunkan penjenayah. Lihat sahaja ketika RUU355 mahu dibentangkan, semua pihak yang menentang kepada perlaksanaan hukuman Islam di Malaysia, bagaikan dirasuk, menolak RUU355 ini. Hanya mereka yang suka melakukan kesalahan sahaja yang takutkan undang-undang ini.
Sebaliknya PAS yakin, jika sistem pendidikan sekular yang diamalkan negara sekarang ini tidak diubah kearah sistem yang benar-benar mendisiplinkan zahir dan batin manusia iaitu pendidikan Islam, maka ianya pasti akan mengundang padah kepada generasi akan datang. Mereka diajar hanya memikirkan lulus peperiksaan dan mengejar keperluan material sahaja dan tidak ditekankan dengan bersungguh-sungguh kepada keperluan jiwa seperti agama Islam yang dijanjikan Allah sebagai penyelesai kepada segala permasalahan. Maka PAS menggesa agar Dr Asyraf Wajdi berhenti membuat kenyataan semborono berkaitan dengan sekolah pondok yang kononnya didakwa sebagai antara punca lahirnya pengganas seperti Daesh dan IS. Atau beliau ada mainan politik disebalik semua ini.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
5 Zulhijjah 1437 bersamaan 7 September 2016


























