Ustaz Wan Hassan Terima Watikah Kolonel Kehormat

1689

Oleh : NM

DUNGUN – Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Bin Mohd Ramli menerima watikah perlantikan sebagai pegawai dalam Angkatan Pertahanan Awam dengan pangkat Kolonel Kehormat (Pertahanan Awam) mengikut Seksyen 8 (1) Akta Pertahanan Awam 1951 dan kaedah 26(2), kaedah-kaedah Pertahanan Awam (Pasukan Pertahanan Awam) 1970.

Watikah ini diserahkan oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu (APM), Leftenan Che Adam Bin Abdul Rahman dalam satu majlis ringkas di sini.

Menurut beliau perlantikan itu selaras dengan keputusan kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri melantik semua Ahli Parlimen sebagai Ahli Bersekutu APM.

“Perlantikan ini satu arahan rasmi dari Jabatan Perdana Menteri di bawah Dato’ Seri Dr. Shahidan Bin Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Saya bagi pihak APM Terengganu berasa bersyukur kerana dapat melaksanakan serahan watikah ini kepada Ahli Parlimen Dungun.

wan hassan watikah1“Perlantikan ini juga selaras dengan penubuhan pasukan Agensi Bencana Negara untuk menghadapi bencana seperti berlaku banjir di Kelantan beberapa tahun lalu. Penyelarasan tindakan sangat penting ketika kita berdepan dengan bencana seperti ini”ujar beliau.

Kata Che Adam, perlantikan ini merengtasi sempadan politik dan melibatkan semua ahli parlimen. Kerjasama dalam menghadapi apa jua bencana setempat sangat penting berdasarkan faktor kawasan yang biasa terdedah dengan bencana.

Manakala Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan mengucapkan jutaan terima kasih di atas perlantikan beliau sebagai Pegawai (bersekutu) dalam pertahanan Awam.

“Terima kasih dan saya menerima perlantikan ini, dengan jaminan Menteri Jabatan Perdana Menteri tiada unsur politik dalam perlaksanaannya, apa yang dihasratkan semoga berjalan dengan lancar. Sebelum ini kami memang menghadapi masalah kerjasama melibatkan beberapa agensi tempatan dalam menghadapi bencana alam dan sebagainya.

“Kita akan lihat kerjasama yang boleh diperkukuhkan berkait kerjasama kemasyarakatan dan latihan -latihan kepada petugas sukerela yang sedia ada dalam menghadapi musim tertentu dan mengurus bencana dan kerja menyelamat secara bersepadu.”tanbah beliau.

Menurut Wan Hassan lagi Daerah Dungun dikenal pasti daerah yang terdedah dengan banjir terutama di Hulu Dungun. Kawasan pantainya juga berisiko tinggi membahayakan pengunjung sehinggakan mengorbankan beberapa nyawa setiap tahun. Kerjasama yang bakal dibentuk nanti bakal memberi kebaikan kepada masyarakat dalam persiapan apa jua keadaan.