Oleh: Dr Md Arif Ibrahim
Saya cukup tertarik dengan pendedahan Dr Mujahid Fauzi dari Kluster Kesihatan dan Kebajikan semasa Kongres Rakyat sabtu lepas. Beliau mengenengahkan isu prasarana kesihatan yang terpinggir berbanding dengan negeri-negeri lain dan perkara ini semestinya amat membimbangkan kita.


Isu ini sudah dibangkitkan sejak tahun 2000 lagi di sidang Parlimen. Malah setiap kali sidang dewan DUN pun boleh dikatakan isu ini selalu dibawa untuk perbahasan. Tetapi sehingga hari ini tiada tindakan dari kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.
Setiap kali menjelang PRU upacara pecah tanah dilakukan seolah-olah hospital baru akan terbina. Contohnya projek hospital Dungun dan Hospital Kemaman. Sehingga hari ini Hospital Dungun, hanya tinggal tunggul ceracak di tapak binaan. Sedangkan jumlah ‘turn over’ keperluan pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah amat mendesak. Bilangan katil pesakit yang sedia ada tidak dapat menampung pesakit yang semakin ramai. Dengan jumlah penduduk yang semakin bertambah, hanya sebuah hospital iaitu HSNZ sebagai hub rujukan seluruh negeri sudah tidak memadai. Walaupun Hospital Kemaman adalah hospital berpakar, tetapi lokasi dan prasarana amat menyedihkan. Justeru keperluan mendesak agar pembinaan hospital Dungun dan Kemaman perlu disegerakan.


Bukan sahaja hospital-hospital daerah yang tertangguh pembinaannya malah pejabat-pejabat kesihatan daerah juga mendapat nasib yang sama. Sehingga kini pejabat kesihatan Kuala Terengganu dan Setiu masih berstatus kedai sewaan. Walaupun tapak cadangan pembinaannya sudah siap, tetapi masih dibekukan setelah sekian lama. Mungkin alasan kegawatan ekonomi, tetapi saya lihat bangunan prasarana kesihatan di beberapa buah negeri lain seperti Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan dapat dilakukan dengan baik sekali. Bangunan cantik dan canggih.


1. Menyegerakan pembinaan hospital Kemamam dan Dungun untuk memberi kemudahan kesihatan kepada masyarakat.
2. Menyegerakan pembinaan pusat kesihatan besar atau Hospital Marang, dengan mengenepikan sentimen politik kepartian.
3. Melaksanakan langkah-langkah segera bagi membolehkan pembinaan pejabat kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Setiu di tapak cadangan pembinaan yg sudah siap.
4. Mengambil langkah-langkah segera untuk membolehkan pembinaan segera hospital UniSZA yang sekaligus dapat menampung kepadatan penduduk di sekitar daerah Kuala Nerus.
5.Kerajaan negeri perlu tegas bertindak dan medesak agar kerajaan pusat melunaskan janji-janji dlm RMK8 sehingga RMK1.
***Dr Md Arif Ibrahim ialah Pengerusi Kluster Kebajikan(NGOs) Negeri Terengganu
https://youtu.be/RjKkLsUWCg8






























