Terengganu, Malaysia

PAS Yakin Menangi Kerusi Dalam PRN Sarawak

TITM1

Oleh : Zulshawal

BATANG SADONG – Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beberapa kerusi dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak dikesan berpotensi, bakal dimenangi oleh PAS.

‘Respon sangat positif dan sambutan pun sangat baik, setakat ini kita telah membuat analisa terhadap DUN-DUN tersebut. Ada beberapa DUN yang kita rasa sangat berpontesi untuk kita menangi dan kita minta petugas-petugas kita membuat lonjakan disaat-saat akhir,’ketika ditemui di Markaz PAS Sadong Jaya.

Beliau dalam siri lawatan bersama pimpinan PAS Pusat ke DUN-DUN yang yang ditandingi oleh PAS menegaskan keyakinan ini berdasarkan laporan yang diterima dalam mesyuarat induk Badan Perhubungan PAS Sarawak semalam.

Siri lawatan bersama pimpinan PAS Pusat bermula daripada DUN yang terdapat dalam Daerah Kuching dan berakhir ke DUN Beting Maro.

Turut bersama Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim dalam kunjungan tersebut adalah Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dato’ Mustafar Ali dan Dr Ahmad Samsuri Mukhtar, Setiausaha Politik Presiden PAS.

Ustaz Tuan Ibrahim juga menasihati para petugas agar berwaspada di saat terakhir menjelang hari pembuangan undi Sabtu ini. Ini kerana pihak Barisan Nasional akan mengunakan pelbagai kaedah bagi memenangi pilihanraya kali ini.

TITM“Biasanya jika BN rasa terancam, mereka akan turun dengan pelbagai bentuk. Berlaku sedikit provokasi di sebelah Bintulu, banner kita dibakar, dicat dan sebagainya. Kita mengharapkan ini tidak merebak dan berkesudahan dengan baik,”katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada jentera negeri- negeri yang turun membantu 11 DUN yang ditanding oleh calon PAS. Mereka datang membantu jentera tempatan bagi memantapkan serta menaikkan motivasi.

“Mereka (petugas negeri bantu) datang dengan penuh semangat bekerja dan juga ini merapatkan ukhuwah petugas-petugas parti. Insyaallah dengan kesungguhan kita bekerja, dan kemudian calon kita yang baik, mudah-mudahan Allah beri kemenangan kali ini,”jelasnya.

Ditanya tentang Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan oleh PAS, beliau menjelaskan dalam situasi PRN Sarawak terdapat sedikit perubahan.

“Walaupun ianya tidak besar dalam konteks pilihanraya, tapi khususnya hubungan kita dengan pegawai kerajaan. Saya sedikit komen berhubung dengan sekatan tempoh tinggal sebahagian pimpinan pusat disenaraikan orang tidak dibenarkan lebih daripada 5 haribulan (berada di Sarawak).

“Ini kita harapkan dapat dipertimbangkan dipihak Imegresen, kerana saat akhir adalah tempoh penting bagi semua parti-parti politik,’ujarnya

Tambah beliau, Budaya Politik Matang Sejahtera positif dalam konteks kita dengan pengundi.

“kita kunjung hormat, kita pergi ziarah dia. Kita niat kita pergi ziarah dan hubungan kita pergi ziarah itu kita dapat pahala. Dengan sebab kita pergi dengan niat baik, mudah-mudah kita mendapat respon yang baik (dari pengundi).”katanya.

https://youtu.be/MCCGl1FNkbc

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan