Memasarkan PAS Ke Tengah Masyarakat Melalui Himpunan Harapan Semua (HARAP)

1533

Oleh : Dr Azman Ibrahim

Himpunan Harapan Semua Siri Ketiga (HARAP 3.3) di Kampung Padang Mengkuang telah melabuhkan tirainya tengah malam semalam setelah pembukaannya bermula dari 27 Februari 2016.

Kehebatan Program HARAP ialah konsepnya yang benar-benar mendasar ke dalam masyarakat sehingga membentuk satu jambatan penghubung kukuh antara parti dan rakyat. Selaras dengan slogan ‘PAS Untuk Semua’. Tak ada kelompok masyarakat yang dikesampingkan dalam program HARAP.

rawatan kesihatan HARAP 3.3aDari kanak-kanak, remaja, pemuda, pemudi, dewasa, warga tua sehingga yang sakit dan kurang bernasib baik semuanya disantuni. Ceramah, sukan dan senaman, forum, seni, konvoi, nasyid, aktiviti kanak-kanak, sukan pemotoran, rawatan kesihatan, Darus Syifa’, derma darah, ziarah, kuliah, khutbah Jumaat dan pelbagai lagi menjadikan HARAP suatu susunan gabung jalin program yang unik dan mengujakan.

Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu mengambil suatu sudut penting dari perlaksanaan HARAP dengan beberapa agenda tumpuan.

Buat pertama kali dalam HARAP 3.3, proram ziarah pimpinan PAS Terengganu yang turun ke segenap penjuru DUN Pengkalan Berangan diatur pada skala yang paling besar berbanding dengan 2 Himpunan HARAP sebelum ini. Sebanyak 24 pasukan ziarah yang diketuai pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri serta turut disertai pimpinan PAS Kawasan, DUN serta cawangan telah menunaikan solat Jumaat di 24 buah masjid dan kemudiannya disusuli dengan lawatan mengunjungi 72 buah rumah sasaran.

Pergerakan pasukan ziarah ini dipermudahkan dengan bantuan Kelab Kembara Lasak 4×4 Kawasan Marang (PASAK) yang mengerahkan armada pelbagai kenderaan 4WD milik PASAK bagi menjayakan program.

rawatan kesihatan HARAP 3.3bPada petang Jumaat, giliran team perubatan pula untuk turun ke medan. Sebanyak 20 buah rumah pesakit yang terlantar telah dilawati oleh pasukan doktor dari Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA).

Pagi sabtu 27 Februari 2016, program kebajikan dan kemasyarakatan bersambung lagi. Bertempat di tapak HARAP 3.3, program pemeriksaan dan rawatan perubatan percuma mendapat sambutan hangat pengunjung sebaik sahaja kaunter dibuka kira-kira jam 9 pagi.

Pelbagai lapisan masyarakat beratur menunggu giliran untuk diperiksa dan dirawat oleh team perubatan terlatih. Apabila kaunter ditutup kira-kira jam 3 petang, seramai 163 orang pengunjung telah mendapatkan khidmat perubatan yang disediakan.

Ramai juga yang berminat mendapatkan rawatan alternatif dari pasukan perawat Darus Syifa’. Seramai 70 orang pesakit telah dirawat oleh tenaga perawat yang memberikan khidmat secara percuma kepada pengunjung.

Tak ketinggalan juga kita menyediakan peluang untuk pengunjung berbakti dengan mendermakan darah mereka kepada insan lain yang memerlukan. Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah yang berada di tapak HARAP 3.3 pada pagi Sabtu 27 Februari 2016. Pulangnya mereka pada petang hari membawa hasil 36 pain darah yang didermakan pengunjung HARAP 3.3.
Semoga kita dipertemukan lagi di Himpunan HARAP siri keempat di Kemaman nanti.


***Dr Azman Ibrahim ialah Ketua Unit Kebajikan Himpunan HARAP, Merangkap Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu