Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN – Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Terengganu berazam menjadikan aktiviti agihan ‘kuih bulan’ sebagai acara tahunan.
Pengerusinya Puan Serena Lim berkata, untuk kali pertamanya tahun ini Lajnah tersebut telah berjaya mengedarkan ‘kuih bulan’ di lima kawasan parlimen iaitu di Dungun, Kemanan, Marang, Kuala Nerus dan Besut.
Beliau berkata, sambutan yang diterima dari masyarakat Tionghua di semua kawasan terbabit sangat memberangsangkan.
Katanya, ia menolak dakwaan pihak ‘musuh’ yang menyatakan bahawa PAS tidak lagi diterima oleh kaum kedua terbesar di negara ini itu.
“kita berharap program ini dapat mengeratkan lagi hubungan PAS dengan masyarakat Cina sesuai dengan slogan ‘ PAS For All’,
“dan (mereka) tidak terpedaya dengan dakwaan jahat (musuh PAS) yang mendakwa bahawa PAS parti perkauman,”ujarnya.
Beliau yang juga Ketua lajnah yang sama bagi kawasan Dungun berkata, tahun ini juga merupakan tahun keempat PAS Kawasan Dungun meraikannya bersama masyarakat Cina Dungun.
“Ini adalah tahun keempat kita mengedarkan kuih bulan sempena Pesta Kuih Bulan atau ‘Zhong Qiu’ di kedai-kedai berbangsa Tionghua dan juga kepada pelanggan- pelanggan mereka,”
“tahun ini ada sedikit kelainan dimana kami berpeluang mengedarkannya di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kwang Hwa, di Bandar Dungun,”katanya lagi.
Turut sama dalam pengagihan kuih bulan di Kawasan Dungun adalah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sura Wan Hapandi Wan Nik dan ADUN Rantau Abang Cikgu Alias Harun.
Sementara edaran di Kawasan Marang, turut disertai oleh isteri Presiden PAS To’ Puan Seri Hajjah Zainab Awang, manakala di Kuala Nerus disertai oleh isteri ADUN Teluk Pasu Tuan Roslina Tan Sulaiman.
Edaran di Kawasan Besut pula di sertai oleh Ketua Muslimat PAS Besut Puan Napisah Ismail.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kerana disambut hangat oleh kaum Tionghua dan juga kepada penyumbang-penyumbang menjayakan program tersebut.
“Orang Cina Dungun sudah biasa terima (kuih bulan) sebab kita dah edar kepada mereka sejak 4 tahun lalu,
“tapi ada dua orang yang ditemui berasal dari Pulau Pinang hairan dan teruja apabila kita berikan kepada mereka, sehinggakan mereka mahu membayarnya,”ujarnya lagi.
Walaupun kita jelaskan ia adalah percuma, namun Serena berkata, mereka tetap mahu mambayar dan menggangapnya sebagai ‘sumbangan’ kepada pihak PAS.











