Oleh KAM
KUALA TERENGGANU – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sentiasa konsisten dengan dasar perjuangan dan menegaskan hanya dengan Islam boleh menyatukan Melayu.
Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan penyatuan Melayu mestilah dengan Islam agar kaum lain tidak terabai dalam masyarakat majmuk.
Ini kerana, katanya selain Melayu kaum-kaum lain yang terdapat di negara ini juga menjadi mangsa penjajahan.


“Perang dunia pertama dan kedua, barang kali lebih 60 peratus anak jajahan menjadi mangsa korban perang dunia. Penjajah selamat dan yang matinya kita (rakyat).
“Dengan sebab itu, memang tidak dinafikan majoriti rakyat adalah Melayu Islam. Dalam masa yang kaum lain adalah sahabat kita dalam masyarkat majmuk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media ketika Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-13, berhenti rehat di Lobi U2 Wisma Darul Iman, 8 September.
Sehubungan itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi jika berlaku perpecah semua kaum boleh menjadi lemah sama ada Melayu, Cina dan India.
Namun, katanya yang boleh menyatukan orang Melayu ialah Islam dan bukan dengan semangat kebangsaan.
“Berpecah semua lemah, Cina pun lemah, lndia pun lemah jika berpecah. Apa yang pentingnya, yang menyatukan Melayu ialah Islam dan bukan semangat kebangsaan,” tegasnya.




























