Lagi Duit Rakyat Bakal Lebur!

1321

Bagaimana kuih begitulah acuannya. Bapanya borek, anak rintik. Dua peribahasa ini menggambarkan kepada sikap atau perangai yang sama yang diwarisi oleh ibu bapa kepada anaknya. Jika namanya Umno, maka tiada bezanya perangainya samada dari pusat mahupun negeri. Ketika negara sedang heboh tentang ketirisan atau apa yang dipanggil sebagai penyelewengan 1MDB oleh Umno pusat, maka Umno Terengganu juga tidak mahu ketinggalan menumpang dalam menyumbang bagi meleburkan duit rakyat Terengganu. Satu lagi projek dari Umno Terengganu, Pusat Akuatik MBKT Batu Burok, berkemungkinan besar tidak boleh digunakan kerana faktor keselamatan. Setelah Stadium Sultan Mizan yang bernilai kira-kira RM300 juta itu runtuh atapnya, Masjid Batu Putih, Masjid Binjai Kertas, makmal sekolah, Sekolah Alor Limbat, LPT2 yang melebihi bajet, Mosun Cup, Hotel Riyaz dan banyak lagi senarai projek menjahanamkan duit rakyat, kini Pusat Akuatik yang bernilai RM18 juta itu pula menunggu giliran dengan sabar untuk masuk dalam senarai itu. Kerosakan utama Pusat Akuatik itu ialah di bahagian bumbung, manakala bahagian lain juga sedang diperiksa oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dalam satu laporan Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata sehingga mendapat laporan daripada JKR, kerajaan negeri tidak boleh memutuskan sama ada mahu membaiki ataupun menutup kolam renang itu

“Kita masih tunggu laporan daripada Bahagian Teknikal JKR berhubung struktur dan kerosakan lain pada pusat tersebut.

“Difahamkan pusat berkenaan mengalami kerosakan pada bumbung dan kita tunggu laporan lengkap jika ada berlaku kerosakan lain,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini Khamis.

Pusat Akuatik ini pada asalnya dibina oleh kerajaan bagi persiapan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2008. Dan setelah setahun, ianya ditutup atas faktor keselamatan kerana terdapat banyak kebocoran dan pembinaan yang tidak mengikut piawai. Menurut bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor ketika membuat tinjauan pada tahun 2010 dahulu, pusat ini dibina tanpa menepati tahap yang ditetapkan. Saya bawakan imbasan kejadian yang melibatkan Pusat Akuatik Batu Burok ini.

Pada 21 Julai 2009, JKR mengisytiharkan hampir keseluruhan Pusat Akuatik rosak teruk. Ketua Pengarah JKR Datuk Sri Dr Judin Abdul Karim, dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Lumpur mendedahkan secara terperinci; struktur keluli bumbung, pagar, tangga, saluran elektrik dan lampu telah mengalami pengaratan serius. Judin juga menjelaskan, pembinaan Pusat Akuatik yang dilaksanakan oleh kontraktor Pakatan Nadiwangsa Sdn Bhd adalah satu ‘projek sakit’ yang gagal disiapkan menurut tempoh yang diberikan. Judin turut menyenaraikan kerosakan lain yang berlaku antaranya mengakui dinding kolam mengalami resapan dan kebocoran air yang serius terutamanya ketika hujan. Ia bertepatan sekali dengan apa yang dilaporkan oleh para peniaga di situ. Lalu Judin pun merumuskan akan menubuhkan dua Jawatankuasa menangani masalah tersebut iaitu Jawatankuasa Kerja Pemulihan dan Jawatankuasa Khas Salah Laku. Judin juga berjanji, Jawatankuasa Khas Salah Laku akan melakukan penyiasatan secara terperinci salah laku dan kecuaian disetiap peringkat pembinaan. Judin berjanji lagi, Jawatankuasa Khas Salah laku tersebut diberi tempoh tiga (3) bulan sehingga Oktober, 2009, mengemukakan hasil siasatan dan mendakwa mereka yang terbabit ke mahkamah.

Pada 31 Julai, 2009, Berita Harian melaporkan Judin berkata pihaknya serius menyiasat dan memastikan jika ada penyelewengan berlaku, orang yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan tidak terlepas dan dibawa ke muka pengadilan. Judin berkata, berdasarkan siasatan awal terhadap Pusat Akuatik MBKT, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud unsur salah laku dalam proses mereka bentuk serta piawaian pembinaan. Katanya, pihaknya mengenal pasti banyak kelemahan dan kesilapan teknikal yang boleh dipersoalkan dalam pembinaan pusat akuatik bernilai hampir RM19 juta itu. Beliau berkata, Jawatankuasa Salah Laku juga sudah ditubuhkan bagi menyiasat sama ada wujudnya unsur itu membabitkan pegawai JKR dan kontraktor yang terbabit dengan projek itu. Apa yang menarik ialah jawapan yang agak misteri diberikan oleh Judin apabila ditanya adakah pembinaan itu memenuhi spesifikasi JKR, dia menjawab TIDAK dan JKR terpaksa mencari jawapan kenapa ia diluluskan. Misteri bukan?

Begitulah secara ringkas kronologi berkaitan dengan maklumat berkaitan Pusat Akuatik ini yang jelas bakal meleburkan wang rakyat buat sekelian kalinya. Saya mohon maaf jika saya tertinggal di mana-mana maklumat berkaitan Pusat Akuatik sebelum ini. Saya cuma mahu tahu, dan mohon maklumkan kepada saya, adakah kita mendengar sesiapa yang didakwa oleh Jawatankuasa Salah Laku yang telah ditubuhkan itu kerana isu ini?

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terenggnau
25 Syawwal 1436 bersamaan 10 Ogos 2015