Saya melihat mutakhir ini, DAP aktif memberikan kritikan-kritikan tajam dan salah terhadap PAS dalam banyak kenyataan mereka ketika mengkritik Umno. Sangat terang dan jelas kritikan-kritikan mereka seperti ditujukan kepada Umno, tapi dalam masa yang sama kritikan yang lebih hebat pula ditujukan kepada PAS. Ibarat ada udang di sebalik batu, atau mungkin juga sesuai dikatakan telunjuk lurus, kelingking berkait. Mengapa saya meletakkan tajuk DAP klon Umno sedangkan kelihatannya mereka seperti melawan Umno? Ambil sedikit masa anda bagi memahami maksud disebalik tajuk yang saya bincangkan ini.
Diantara laporan yang dijadikan asas kepada kenyataan LGE dalam The Malaysian Insider (TMI) kali ini ialah memahami secara salah kenyataan DS TG Hadi Awang iaitu perlunya ada empat orang saksi terhadap kes wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, DS Najib Razak, sama seperti kes DS Anwar Ibrahim. Sedangkan maksud kepada kenyataan itu seperti yang telah diterangkan ialah sebagaimana tegasnya PAS mempertahankan Anwar yang dikatakan telah dituduh secara salah oleh pihak pendakwa iaitu tanpa melalui mahkamah syariah yang pastinya akan menggugurkan kes itu kerana kekurangan saksi, maka begitu juga keadilan mesti diberikan kepad DS Najib dengan menggunakan kaedah-kaedah Islam yang sepatutnya dan bukannya hanya mendengar, lihat dan terus menghukum sedangkan siasatan masih berjalan dan pendakwaan masih belum bermula. Inilah keadilan yang diamalkan oleh Islam yang teguh dipertahankan oleh PAS. Sayangnya “Umar Abdul Aziz” olok-olok ini, tidak memahami fiqh Islam secara betul. Sama seperti Umno perangai LGE ini. Ambil berita secara salah, kemudian proses buat fitnah mengikut acuan kepalanya. Tidak tahulah saya jika DAP memerintah Malaysia, maka segala pertuduhan hanya diambil asasnya dari laporan-laporan tertentu dan terus disabitkan kesalahan tanpa proses perbicaraan. Kalau begitu apa beza DAP dengan Umno?
LGE kemudiannya bertanyakan adakah PAS mahu memohon maaf atas kesilapan mempertahankan DS Najib setelah SPRM mengesahkan yang RM2.6 billion telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi DS Najib? Kemudiannya LGE, selepas dia bertanya, dia pula menjadi tukang jawab dalam cubaannya membentuk persepsi negatif orang ramai terhadap PAS dengan berkata, jika DS TG Hadi Awang mahu meneruskan mempertahankan Najib, ianya akan memperlihatkan bahawa PAS sudah kehilangan kredibilitinya dalam melawan jenayah rasuah. Tambah LGE lagi ketika menjawab soalan yang dia sendiri tanya itu, samada PAS secara terbuka menyertai Umno atau tidak, LGE menyatakan bahawa tiada bezanya kerana semua orang melihat yang PAS adalah pro-Umno, pro-Najib dan pro-1MDB, kata LGE dalam dongengannya itu. Sedangkan PAS tetap PAS yang hanya pro Islam dan keadilan.
Begitulah terdesaknya LGE mereka cerita setelah cubaan mengatur pimpinan PAS dari dalam, gagal. Inilah kenyataan yang paling dangkal keluar dari mulut LGE kerana apabila dia menggunakan “semua orang”, jelas dia cuba memperbodohkan diri sendiri kerana selepas muktamar PAS yang cuba dia campuri itu dan ketika memuncaknya isu 1MDB dan isu derma RM2.6 billion ini, PAS telah menerima kira-kira 10 ribu permohonan menyertai parti. Jelas dengan sokongan yang begitu padu ini, DAP tiada cara lain bagi menjatuhkan PAS kecuali dengan menggunakan cara Umno iaitu, reka cerita palsu untuk dijadikan fitnah bagi membina persepsi negatif agar rakyat membenci PAS dalam keadaan LGE tidak sedar yang rakyat Malaysia bukan bodoh seperti yang dia sangkakan. Cara yang sama macam Umno.
Jika dilihat, kaedah yang diguna pakai oleh LGE, jelas dia cuba menyelamatkan Umno, sebagaimana teknik mengalihkan tumpuan yang sentiasa Umno lakukan apabila berlaku isu-isu besar dalam negara yang melibatkan maruah Umno, akan ada cerita-cerita lain yang dikeluarkan bagi mengalih isu. Ketika semua rakyat tertumpu kepada isu DS Najib, LGE tiba-tiba muncul mengalihkan isu supaya rakyat melupai kes DS Najib dan beralih arah kepada DS TG Hadi Awang. Amat besar peranan LGE dalam survival politik DS Najib kali ini dan LGE sangat aktif cuba menyelamatkan Umno. Ini mungkin langkah awal cubaan DAP ingin bersatu dengan Umno seperti seruan oleh ayahnya Lim Kit Siang untuk mengadakan kerajaan perpaduan dengan BN baru-baru ini. Tetapi kisah ayahnya mahu memeluk cium BN itu, langsung dipinggirkan.
Sebagaimana Umno akan reput kerana mengamalkan politik songsang atau politik serba boleh demi kuasa, maka ianya juga akan terjadi kepada DAP yang sekarang sedang berjinak-jinak dengan cara atau teknik Umno. Apabila DS TG Hadi Awang berkata tukar PM tidak menyelesaikan masalah, maka menyalaklah khalayak DAP sambil mereka-reka cerita PAS menyokong Najib. Tetapi salakan garang itu bertukar menjadi salakan manja yang hampir tiada bunyi apabila DS Anwar dan Nurul Izzah mengeluarkan ayat yang sama. Dan salakan itu terus berhenti apabila LKS kata, DAP sedia untuk bergabung dengan Umno. Dengan pergabungan itu, DAP bakal menyelamatkan Umno dan Umno mungkin akan kembali gagah hasil bantuan DAP. Dan PAS, tetap berdiri gagah menentang sesiapa sahaja yang menyeleweng dan akan mempertahankan sesiapa sahaja yang dizalimi walaupun mereka itu musuh PAS kerana inilah dia ajaran Islam. PAS seperti kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, PAS tidak akan bergabung dengan Umno selagi Umno tidak menjadikan Islam sebagai asas perjuangan mereka. Tidak perlu DAP mereka cerita. Hakikatnya inilah PAS, kekal dengan ajaran Islam yang syumul walau berseorangan atau bergabung, tidak pernah takut kalah demi Islam. Wallahua’lam.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
22 Syawwal 1436 bersamaan 7 Ogos 2015


























