Oleh : Azizah Mahmood
KOTA KINABALU – Delegasi Kumpulan Aktivis Media Independan (KAMI) Terengganu tiba di Kota Kinabalu dalam perjalanan dalam misi meninjau kesan dari gempa bumi yang berlaku di Ranau, Sabah, baru-baru ini.
Pengerusinya, Dr Azman Ibrahim berkata, Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu akan ke kawasan gegaran tersebut termasuk singgah di Kundasang untuk ziarah prihatin media yang akan memberikan sedikit sumbangan kepada mangsa bencana tersebut.
Menurutnya, ia bertujuan bagi melihat sendiri kesan secara langsung dan menulis laporan akibat langsung yang menimpa masyarakat setempat ekoran bencana gempa itu.
“Insya’Allah, bermula 9 Julai hari ini kita (KAMI) akan meninjau ziarah prihatin media di Ranau, Sabah untuk melihat kawasan yang dilanda gempa bumi baru-baru ini.
“Alhamdulillah, ini (misi) bukan yang pertama tetapi sebelum ini kita pernah menghantar deligasi KAMI menyertai misi-misi di luar negara seperti ke Gaza Palestin, Darfur Sudan, Mindanao Filipina, Aceh Indonesia dan banyak lagi,” jelasnya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan di Darul Hadis di Kampung Sembulan dekat sini pada petang Khamis.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Pemuda PAS Sabah Zul Zaim Abidin, Timbalan Pengerusi KAMI Sazali Mohd Nor dan lima anggota sukarelawan.
Dr Azman yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu berkata hasrat penubuhan KAMI juga bagi mengimbangi kelab-kelab media yang sedia ada di negara ini.
Namun, katanya penubuhan KAMI lebih lagi mahu memperjuangkan hak dunia media yang bebas, telus dan bertanggungjawab berbanding pihak lain.
“Penubuhan KAMI ini untuk kita mengimbangi kelab-kelab media yang sedia ada di negeri Terengganu. Tetapi untuk kita memperjuangan dunia media yang bebas, telus dan bertanggungjawab tidak boleh harap kepada kelab media yang lain.
“Dengan penubuhan KAMI, banyak kita dapat bantu gerak kerja media ini di seluruh negeri. Penghantaran deligasi kita dalam program-program besar PAS juga disertai oleh KAMI dengan lebih teratur dan baik,” ujarnya.











