Jelajah Bantah GST; Petugas Parti Jadi ‘Duta’ Rakyat

1406

Oleh KAM

BESUT – PAS Terengganu mengadakan siri Jelajah Bantah GST ke seluruh negeri bagi memberi kefahaman kepada rakyat bahawa sistem percukaian barangan dan perkhidmatan (GST) itu sangat membebankan.

kam3206(b)-bantah2 (2)Tinjauan mendapati sambutan rakyat cukup memberangsangkan hampir 300 orang menyertai flashmob di hadapan Masjid Hadhari, bandar Jertih, Besut sebagai tanda tidak bersetuju dengan GST tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu, Yahaya Ali berkata himpunan membantah GST merupakan tanda protes rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, kerajaan mengenakan cukai GST pada awal April lalu cukup memberi kesan kepada seluruh rakyat sebagai pengguna barangan dan perkhidmatan.

“Alhamdulillah, kita dapat melihat hari ini bantahan yang kita adakan secara ‘flashmob’ di bandar Jertih (Besut) ini mendapat sambutan baik dari rakyat.

“Ini tanda kita (rakyat) protes kepada kerajaan Umno-BN yang menekan rakyat dengan cukai baharu GST, semua orang kena GST termasuk orang miskin, orang OKU dan orang kaya,” ujarnya ketika berucap pada Siri Jelajah Bantah GST, dekat sini, Sabtu 16 Mei.

Program tersebut anjuran Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat (Demi) dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) dan PAS Kawasan Besut.

kam3206(a)-bantah1Yahaya berkata program sehari itu bermula dengan Wacana GST, Flashmob dan Ceramah Umum diadakan bagi memberi penerangan kepada ahli jentera parti (PAS) agar dapat menjadi “Duta” rakyat di kampung dan desa.

Setiausaha Demi, Ahmad Amzad Hashim menjelaskan Besut merupakan siri pertama program Jelajah Bantah GST dan akan disusuli selepas itu ke kawasan-kawasan lain.

Katanya, sambutan rakyat yang ramai menyertai flashmob yang diadakan itu merupakan bukti cukai GST tidak dipersetujui.

“Kita (Demi) akan menggerakkan rakyat di seluruh negeri Terengganu supaya mereka (rakyat) faham bahawa cukaai GST itu membebankan dan akan berlaku kenaikan harga barang.

“Rakyat perlu diberi penerangan dan maklumat kerana kerajaan Umno-BN tidak bercakap benar dan mengelirukan rakyat dengan GST,” jelasnya.