Segerakan Buat ‘By-Pass’ Sungai Kemaman

1107

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU: Wakil rakyat PAS menyarankan kerajaan negeri terutama Menteri Besar Terengganu agar segera mendesak kerajaan Persekutuan menyegerakan peruntukan bagi mengatasi masalah banjir di Kemaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat berkata dalam tempoh enam bulan lagi musim tengkujuh akan kembali semula di negeri pantai timur.

Menurutnya, jika kerajaan negeri tidak melakukan sesuatu penambahbaikan bagi memperdalamkan Sungai Kemaman dikhuatiri bencana banjir berulang kembali.

“Isu banjir di Kemaman dan enam bulan dari sekarang musim tengkujuh akan kembali semula. Cadangan saya di dewan ini pada persidangan Dun Terengganu yang lalu iaitu supaya dibuat sungai ‘bypass’ daripada sungai Kemaman ke Ibok dan sehingga kini belum lagi mendapat peruntukan kerajaan Persekutuan.

“Saya mendesak Menteri Besar supaya berjumpa dengan Perdana Menteri agar peruntukkan itu disegerakan untuk membuat sungai ‘bypass’ serta memperdalamkan Sungai Geliga hingga ke muara Kuala Kemaman.

“Saya bimbang jika kita tidak desak, duit peruntukan itu akan digunakan untuk 1MDB. Banjir memberi kesusahan kepada rakyat walau pun kerajaan ada SOP tetapi harta benda rakyat hancur musnah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian membahas titah ucapan Tuanku Sultan Terengganu pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, dekat sini pada 12 Mei.

Selain itu, beliau turut memperingatkan dewan dengan teguran Ketua Audit Negara terhadap perbelanjaan serta tadbir urus kerajaan negeri.

Kata Hanafiah, pengauditan yang dijalankan pada bulan Julai hingga September 2014 mendapati pengurusan perolehan di Majis Perbandaran Kemaman (MPK) kurang memuaskan.

Menurutnya, berlaku ketidakpatuhan dalam beberapa prosedur perolehan seperti projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Projek siap tidak dimanfaatkan atau diguna, perakuan kelambatan dan lanjutan masa lewat diluluskan dan dokumen kontrak tidak disediakan dan lewat ditandatangani.

“Bangunan Pasar Binjai yang telah siap dibina pada tahun 2008 dengan kos RM19.19 juta. Pada 2010, bangunan pasar itu dibaik pulih dengan kos RM301,500 dan pada tahun 2013, MPK sekali lagi membaik pulih kerosakannya dengan kos RM5.85 juta.

“Kompleks Tekstil Bandar Baru Kijal yang siap dibina pada 14 Oktober 2011 dengan kos RM43.78 juta tetapi hingga sekarang masih belum digunakan,” jelasnya.

Menurutnya, kelemahan pentadbiran MPK itu hingga berlaku pembaziran duit rakyat khususnya dalam aspek pengurusan bangunan yang telah siap dibina.