Rumah Mampu Milik; Rakyat Mahu Agihan Telus

779

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU: PAS terus membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri (Dun) apabila banyak menerima aduan tentang pengagihan rumah mampu milik kerajaan secara tidak telus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata bagi kesejahteraan kehidupan rakyat perkara asas yang diperlukannya rumah kediaman.

Sebagaimana, titah Tuanku Sultan katanya baginda mahukan kerajaan negeri menyediakan satu sistem agihan rumah yang lebih bersistematik.

“(atau) Dalam erti kata lain, tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk diagihkan kepada rakyat. Sebab, ada rumah yang telah siap tiga, empat tahun tetapi masih belum dapat diagihkan kepada rakyat yang memerlukannya.

“Sedangkan, rakyat amat memerlukan rumah kediaman itu. Kita (PAS) juga mengharapkan ketelusan dalam pembahagian dan pengagihan rumah-rumah kepada rakyat.

“Kita (Adun) sering kali menerima aduan, keluhan dan rungutan rakyat di mana ada penerima rumah mampu milik yang disediakan kerajaan untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah tetapi diagihkan kepada mereka yang telah mempunyai rumah kediaman masing-masing,” jelasnya.

Ustaz Wan Hapandi berkata demikian ketika berucap membahaskan titah ucapan Tuanku Sultan Terengganu selepas Adun Rantau Abang, Cikgu Alias Harun, pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-13, di Wisma Darul Iman, 12 Mei.

Menurutnya, perkara asas yang diperlukan oleh rakyat ialah rumah kediaman sebagai tempat tinggal mereka yang berada ditahap sederhana dan miskin.

Katanya, kerajaan negeri perlu berusaha bagi membantu rakyat memiliki rumah kediaman tersebut dengan cara yang adil.

“Kita mengharapkan pihak kerajaan dalam usaha-usaha hendak membantu rakyat memiliki rumah ini, dapat dipertingkatkan dari segi jumlahnya.

“Pada persidangan Dun Terengganu yang lalu, kita (dewan) diberitahu lebih 53,000 permohonan dari seluruh daerah yang memerlukan rumah kediaman. Namun, pihak kerajaan negeri hanya mampu menyediakan 3,000 unit rumah sahaja,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut membawa isu pembinaan sebuah surau di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Dungun yang terbengkalai sejak lima tahun lalu.

Katanya, surau sekolah berkenaan perlu disiapkan segera bagi kegunaan beribadah 1,000 orang pelajar.

“Sebuah surau di SekolahMenengah Sultan Ismail, yang dibina dengan mengambil masa yang agak lama, sudah memakan masa lima tahun sedangkan muridnya seramai 1,000 orang.

“Sebahagian besarnya tinggal di asrama, yang memerlukan tempat untuk solat. Masalah ini terbengkalai begitu lama dan pihak sekolah terpaksa memohon sumbangan derma dari ibubapa untuk menyelesaikan pembinaan ini.

“Saya mengharapkan pihak kerajaan negeri dapat memberi bantuan kepada pihak sekolah berkenaan,” ujarnya.

Ustaz Wan Hapandi mendakwa pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu mempunyai kumpulan wang zakat lebih RM300 juta serta tidak menjadi masalah membantunya.