Apakah Negara Memerlukan GST?

1006

Kita bukan berbicara tentang cukai sama ada haram atau halal tetapi kita berbicara tetang satu jenis cukai namanya Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST. Isu kita sekarang ialah adakah cukai GST diperlukan? Adakah terdapat keperluan mendesak untuk cukai GST? Sedangkan ketirisan perbelanjaan negara sahaja antara 23 hingga 40 bilion?

Jika dielakkan ketirisan maka kerajaan tidak perlukan GST yang dijangka mendatangkan hasil 23 bilion pada 2015. Itu belum diambil kira konsep penjimatan dan perbelanjaan berhemah. Jika ia menjadi amalan kerajaan maka kerajaan juga tidak akan terdesak untuk menggunakan GST. Cukai SST lebih baik daripada GST walaupun saya tidak menyatakan bersetuju dengan SST 100%.

Isu pada GST ialah sistemnya. Ia dikenakan hatta kepada orang miskin. Contoh yang saya bagi ialah 6 sen yang dikenakan sebagai cukai perkhidmatan apabila mengeluarkan wang daripada ATM berbeza bank. Seorang miskin pun dicukaikan 6 sen apabila mengekuarkan duit.

Sistem ini menjadikan cukai GST (saya tak bincang lagi tentang percukaian lain) adalah haram. Tidak ada ruang untuk mengharuskannya sama ada atas dasar maslahat atau keperluan seperti yang didendangkan oleh setengah orang.

Apatah lagi maslahat yang didakwa wujud pada GST sememangnya tidak wujud jika dielakkan segala ketirisan dan diamalkan perbelanjaan berhemah.

Itu belum dibincangkan lagi tentang konsep pengecualian barangan cukai GST. Sepatutnya bukan dikecualikan barangan cukai tetapi disenaraikan barangan cukai. Apabila disenaraikan pengecualian maknanya secara umumnya barangan yang terlalu banyak dikenakan cukai hanya dikecualikan item-item tertentu.

Apabila disenaraikan barangan cukai ia bererti masih banyak yang tidak dikenakan cukai. Kenapa konsep ini diambil? Jawapannya kerana kerajaan mengamalkan dasar negra cukai yang berusaha membesarkan saiz cukai berbanding mengecilkannya.

Malah suka saya nyatakan bahawa ruang untuk meningkatkan hasil negara masih terbuka luas tanpa memerlukan GST sama ada menerusi
1. Cukai pendapatan sama ada korporat atau individu – Bagaimana? Itu akan saya perincikan kemudian.
2. Cukai import export
3. SST

Kesimpulannya, jika kerajaan menyemak segala perbelanjaan dengan mengamalkan sikap berhemah dan berjimat cermat (itulah makna sebenar ekonomi atau iqtisad dalam Islam) dan jika kerajaan menangani segala ketirisan yang menjangkau sehingga 40 bilion setahun dan jika kerajaan mengemaskini sistem percukaian korporat dan individu serta percukaian import dan eksport serta percukaian GST SEBENARNYA NEGARA KITA TIDAK PERLUKAN GST.

Justeru dimanakah maslahat dan keperluan yang didakwa menjadi dalil dan hujah mengjaruskan cukai GST????
Ini hanya lontaran awal saya untuk difikirkan. Lengkapnya akan saya tulis secara bersiri nanti di bawah topik
Apakah Negara Memerlukan GST???

Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus/
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS