Tahun Dukacita; Para Ilmuan Islam Dipohon Fokus Soal Umat

910
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Khairuddin%20takiri.jpg

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kuala Nerus , Ustaz Dr Khairuddin Aman Razali menyifatkan tahun 2014 merupakan tahun dukacita bagi beliau, walaupun ia merupakan tahun pertama beliau dipilih sebagai ‘Yang Berhormat’.

“2014 adalah Tahun dukacita saya……….. Perginya Sang Murabbi Tuan Guru Harun Taib di awal tahun. Kemudian perginya Guru saya Tuan Guru Awang Jidin,

“kemudian Ayahanda tercinta 15hb Mei seterusnya Ibu Saudara dan hari ini Sang Murabbi Dato Abu Bakar Chik,”ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS dalam hantaran pada laman sosialnya turut melahirkan kebimbangan tentang ‘kehilangan’ para ulamak yang sentiasa mencari dan memperjuangkan kebenaran.

“Ulamak Islam sepanjang zaman berijtihad cuba memahami teks al-Quran dan al-Hadis. Mereka berusaha mencari kebenaran dan pandangan terkuat dan lebih tepat menerusi pelbagai kaedah pengeluaran hukum.

“Di saat berlaku khilaf pandangan mereka lebih selesa untuk diambil pandangan majoriti Ulamak kerana kebenaran lebih hampir kepada pandangan majoriti Ulamak meskipun semua ijtihad diberikan pahala oleh Allah,”ujarnya.

Justeru beliau memberi peringatan agar para ulamak, orang-orang berilmu dan para ustaz memberikan tumpuan kepada isu-isu yang melanda umat Islam, berbanding membangkitkan perbahasan ‘syazz’.

“Banyak lagi isu ummah yang boleh dibicarakan menurut sudut pandang Islam berbanding membangkitkan perbahasan yang disifatkan “syazz” atau janggal oleh majoriti terbesar ulamak Islam.

“Islam agama mudah. Tapi mudahnya Islam bukanlah dengan dipaparkan ijtihad-ijtihad terpencil individu tertentu di kalangan ulamak yang dilihat mudah,”jelasnya.

Namun, kata beliau, berbeza dengan segelintir terpelajar agama akhir zaman yang melompat-lompat, mencari-cari pandangan yang paling mudah dalam pelbagai mazhab meskipun pengdalilannya sangat lemah.

“Kontroversi menaikkan nama seseorang bergelar ustaz atau guru agama. Tapi bukan untuk kontroversi kita menjadi seorang guru agama. Cukuplah wahai sahabatku. Janganlah mengelirukan ummat yang sudah sedia keliru ini.,”pesan beliau.