Penduduk Miskin Di Luar Bandar Masih ‘Deposit’ Bagi BN?

1478

Program sehari bersama Timbalan Presiden PAS Hj Mohammad Sabu@Mat Sabu di Bintulu baru-baru ini merupakan lawatan pertama beliau ke kampung sekitar pinggir bandar Bintulu. Lawatan kebajikan ini dianjur oleh PAS Bintulu dan sebanyak 5 buah keluarga penduduk di Kg Jepak dan juga di Sebuan telah menerima sumbangan kebajikan dari PAS Bintulu.

Menurut beliau keadaan kehidupan penduduk di pinggir bandar Bintulu amat daif tidak ubah seperti di pedalaman sekitar Klang diawal 70-an. Dimana ramai penduduk miskin ketika itu yang merupakan penyokong tegar BN tetapi setelah ada pembangunan dan mereka sudah berpelajaran, mereka tidak lagi menjadi deposit BN sebab mereka sedar selama ini mereka ditipu oleh pemimpin BN yang tidak amanah dan menyalahguna kuasa.

Kemiskinan dan subsidi kepada penduduk miskin merupakan satu bentuk ikatan yang menyebabkan penduduk miskin terus bergantung kepada kerajaan BN sehingga menyebabkan mereka tidak berani bersuara atau menentang penyelewengan pemimpin BN walaupun keadaan rumah mereka tidak berdinding dengan sempurna. Beliau berpesan kepada petugas PAS agar terus masuk kampung dengan program kebajikan dengan niat kerana Allah dan sebagai kerja dakwah. “Kalau letakkan kepada kemenangan pilihanraya semata-mata, pasti kita akan kecewa dan putus asa kerana penduduk miskin hanya melihat kebendaan daripada isu semasa” katanya.

Pada sebelah petang, ziarah ke pasar Bintulu dan sempat menikmati jamuan Durian dan buah-buahan tempatan seperti buah embang yang hanya terdapat di Sarawak, buah mata kuching hutan dan lain-lain.

Pada sebelah malam pula makan malam anjuran DAP Bintulu sempena pelancaran ‘Impian Sarawak’ yang dihadiri hampir seribu orang penduduk tempatan khasnya majoriti Iban dan Cina, juga beberapa orang Melayu tempatan turut hadir ke Mandarin Restoran.

Pada malam itu, Mat Sabu diberi peluang berucap dan menegaskan masa untuk berubah perlu disegerakan kerana kesan kenaikan harga barang sudah dirasai oleh semua lapisan masyarakat. “Pakatan Rakyat harus hapuskan politik perkauman bagi membina Malaysia yang lebih aman dan sejahtera sesuai dengan tema Rahmat Untuk Semua” katanya.

Antara tetamu jemputan khas (VIP) terdiri dari Dr Hew DAP, MP Stampin Julian,YB Piasau Alan Ling,YB Kidurong Chiew CS, Abdul Jalil Bujang PKR Bintulu, YDP PAS Miri Hj Jofri termasuk pimpinan PAS Bintulu YDP Azwani, TYDP Zharudin dan Ketua Penerangan PAS Bintulu Hj Kiprawi merupakan anak tempatan Bintulu.

Pada hari selepas itu di sebelah malamnya, PAS Bintulu turut mengadakan program Wida untuk beberapa pimpinan yang bakal berpindah dalam majlis usrah gabungan di rumah Hj Kiprawi.

*** Artikel ditulis oleh Haji Jofri Jaraiee, pemimpin PAS Sarawak