Kes-kes pembelian barangan seperti jam berharga RM100.00 menjadi RM 3,000 atau pencetak berharga RM 200 menjadi RM 2,000 bukanlah kes spesifik kepada Laporan Audit 2012 sahaja. Ianya berlaku saban tahun lalu mengesahkan wujudnya satu corak salahlaku kewangan yang membimbangkan.
Pada tahun 2010, audit melaporkan kerajaan membeli set teropong yang kosnya tidak lebih RM 3,000 pada harga RM 56,000 sepasang. Pada tahun 2006 pula, kerajaan dilaporkan berbelanja RM 224.00 untuk set pemutar skru yang berharga cuma RM 40.00. Besar kemungkinan, kesalahan-kesalahan seperti ini dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang pernah disifatkan oleh mantan PM Tun Abdullah Badawi sebagai “Napoleon kecil” – yang cuai atau turut sama mengambil untung dalam mengurus transaksi kerajaan.


Transaksi sebegini secara intipatinya merupakan suatu bentuk “trade/invoice mispricing”. Di peringkat yang lebih besar, ianya menyebabkan ketirisan sepertimana yang dilaporkan oleh Global Financial Integrity (GFI). Dari tahun 2001 sehingga 2010, Malaysia berada ditangga ke-3 global dengan jumlah wang haram dianggar pada USD 285 billion. Pastinya pada tahap dan skala sebegini, salahlaku kewangan dilakukan oleh pemimpin atasan yang berkuasa.
Kerana itulah corak salahlaku kewangan ini amat membimbangkan. Napolean kecil di dalam birokrasi kerajaan sanggup melakukan salahlaku ini kerana mereka sebenarnya sekadar mencetak watak korup pemimpin-pemimpin atasan yang saban tahun merompak hasil negara tetapi terlepas kerana terlalu berkuasa.
Rasional mereka mudah; kalau bos-bos kami boleh melakukannya dan terlepas pula, mengapa tidak kami? Laporan GFI dan siri laporan audit tahunan negara sebenarnya membuktikan bahawa barah penyelewengan sesungguhnya telah meresap ke segenap pelusuk birokrasi kerajaan.


Kemunkaran ini mestilah dicegah sebelum berlaku kerosakan yang lebih besar. Sudah cukup peringatan yang dinyatakan oleh Nabi saw bahawa punca kerosakan itu ialah apabila amanah diberikan kepada orang yang tidak sepatutnya. Cara terbaik membuang barah penyelewengan ini adalah dengan menggantikan pemimpin atasan dengan individu yang amanah dan menghayati nilai taqwa. Dengan itu pegawai di bawah berasa hormat dan malu untuk melakukan kesalahan. Bukankah perasaan malu itu pula sebahagian dari Iman?
Perubahan sebenar boleh bermula apabila sampai PRU ke14 kelak. Sementara itu, kita boleh terus menjangkakan pendedahan salahlaku kewangan untuk tahun-tahun mendatang oleh birokrasi kerajaan yang semakin hilang rasa malu kepada rakyat.
*** Arikel ada tulisan Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Exco Dewan Pemuda PAS Terengganu dan Exco DPPM.





























