Timbalan Presiden Sewajarnya Ulamak – Ustaz Harun

1302

KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Harun Taib bersetuju dengan saranan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa jawatan Presiden PAS wajar dikekalkan kepada penyandangnya Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ini kerana, katanya secara peribadi tidak ada sebab munasabah Ustaz Abdul Hadi ‘digugurkan’ dari jawatan tersebut pada pemilihan Muktamar Tahunan PAS kali ke-59, November depan.

“Saya lihat tidak ada sebab beliau (Ustaz Hadi) mahu digugurkan, tiada sebab yang munasabah,” ujarnya.

Namun, beliau tidak akan menolak sebarang keputusan dibuat perwakilan sama ada ia mahu mengekalkan Dato’ Seri Abdul Hadi sebagai Presiden PAS atau sebaliknya.

“Saya secara peribadi, lebih baik (Presiden PAS) dikekalkan tetapi saya serah kepada para perwakilan dan terpulang kepada perwakilan kerana mereka bebas memilih sesiapa,” jelasnya.

Manakala, katanya jawatan Timbalan Presiden PAS juga terserah kepada para perwakilan tetapi sewajarnya diangkat dari kalangan ulama’ yang celik politik.

Ustaz Harun turut menegaskan akan memberi sokongan padu terhadap mana-mana individu yang dipilih oleh perwakilan kelak.

“Saya harap perwakilan lebih bijaksana memilih siapa yang jadi timbalan dan ulama’ yang dipilih itu perlulah yang memahami situasi politik. Kalau tidak tahu politik, tidak boleh. Kalau perwakilan pilih yang mana-mana, saya terima…Insya’Allah,” ujarnya.

Isu jawatan Presiden PAS itu timbul apabila terdapat laporan portal berita twitter Yang Dipertua PAS Padang Serai, Fauzi Tahir mahu menawarkan diri bagi mencabar Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi pada pemilihan muktamar depan.