KUALA NERUS – Orang muda dalam PAS adalah ‘penerus perjuangan’ yang akan membawa ‘wajah’ yang ada pada diri mereka masa kini untuk mencorak masa hadapan.
Walaupun mereka bukan dikalangan ‘orang besar’ dalam PAS namun, syaksiyah diri mereka menjadi cerminan kepada perjuangan Islam yang didokong PAS, menentukan pengaruh dan politik masa akan datang.
Setiausaha PAS Kawasan Kuala Nerus Zakaria Dagang berkata pilihanraya umum kali ke-13 (PRU-13) menyaksikan kebangkitan orang muda menyokong PAS hatta dalam Dun yang tidak dimenangi PAS, Dun Seberang Takir yang ditandingi beliau sendiri.
“pencapaian terbaik dan rekod PAS di Terengganu dan mungkin rekod di Malaysia barangkali (apabila) Kuala Nerus pada pulihanraya yang ke-13 lalu, calon-calon yang menang terdiri dari orang muda, daripada empat orang calon (wakil rakyat) yang menang………tiga daripadanya adalah orang muda,
“kita mencapai hampir di kesemua saluran (mengundi) orang muda, termasuk di Dun Seberang Takir yang kita kalah pun (tapi) kita menang di saluran orang muda, daripada enam peti undi lima kita lima daripadanya,”ujar beliau.
Zakaria yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PAS Kuala Nerus Kali-35 di masjid Taqwa, dekat sini pada Jumaat petang, 6 September.
Oleh itu katanya, ia memberi harapan yang besar kepada PAS dan perjuangan Islam bagi menghadapi pilihanraya kali ke-14 yang akan diadakan dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.
Justeru kata beliau, pemuda PAS Kuala Nerus perlu memastikan agar orang muda yang ada pada hari ini terus istiqamah menyokong PAS walaupun mereka akan menjadi pengundi ‘saluran satu’ pada masa akan datang.
“saudara-saudara berperanan dengan usaha berterusan, kesungguhan melaksanakan kerja memastikan (mereka) terus kekal (dan) istiqamah dan terus menyokong kita walaupun mereka (akan) duduk dalam ‘saluran satu’,
‘disamping orang muda yang akan menjadi pengundi baru, yang sekarang berumur 17 (dan 18) tahun, memberikan sokongan kepada kita, InsyaAllah tidak mustahil pada pilihanraya ke-14 nanti, kita akan beri ‘5- 0’ (kepada Umno-BN),”tegasnya.
Justeru menurutnya, setiap orang pemuda PAS mempunyai peranan masing-masing kerana setiap individu mempunyai kelebihan yang penting bagi PAS kerana dakwah dan perjuangan itu bukan hanya menyampaikan ceramah diatas pentas politik.
“bukan semua kita boleh berceramah (diatas pentas politik) dan kerja-kerja yang dianggap ‘hebat’, tapi masing-masing kita ada peranan tersendiri………kalau kita duduk dibawah sebagai ahli biasa sahaja pun tapi orang tahu kita ahli PAS dan orang kuat,
“kita perlu menunjukkan sikap yang terbaik (dan) akhlak yang terpuji yang juga merupakan satu sumbangan yang besar kepada (perjuangan Islam) kita,”jelas beliau.




























