Gabungan Anak Terengganu (GATE) menegaskan berulang kali bahawa bantahan mereka bukan menolak pembangunan untuk menaikkan taraf Pasar Besar Kedai Payang, bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada peniaga dan para pengunjung.
Namun sebaliknya, Pengerusi GATE Haji Ahmad Amzad Hashim berkata konsep baru yang diumumkan melalui media oleh kerajaan Umno-BN Terengganu lebih fokus kepada pembinaan hotel yang akan menenggelamkan peranan pasar payang sebagai warisan penting negeri Terengganu.
“kita tengok dari segi kemudahan asas, tandas, kebersihan, parking (tempat letak kereta) dan sebagainya, saya rasa kualiti ruang berniaga memang perlu diperbaiki……kita tak nafikan,
“tapi masalahnya sekarang ini jangan kita menggadaikan fungsi Pasar Besar Kedai Payang itu sendiri sebagai ikon bagi bandar (raya) kita,


Menurutnya konsep baru yang diumumkan lebih fokus kepada pembinaan hotel yang akan menenggelamkan peranan Pasar Besar Kedai Payang.
Katanya, tajuk berita di dada-dada akhbar juga sudah memberikan fokus kepada pembinaan hotel manakala Pasar Besar Kedai Payang hanya akan berada ditingkat bawah hotel.
“digambarkan (ia) sebagai tidak lebih dari (sebuah) pasaraya ‘aircond’ (berhawa dingin) yang biasa kita boleh lihat seperti di Mid Valley, The Mall dan seumpamanya.
“Ini bertentangan rancangan asal menaiktarafkan Pasar Besar Kedai Payang yang pernah dirancang terdahulu yang sepatutnya memperkasa peranan pasar itu sebagai warisan tradisi Terengganu (dan) sebagai pasar rakyat,”jelasnya.
Beliau mendakwa kegiatan perniagaan orang Melayu dan gelagat mereka yang menjual pelbagai keperluan yang diperlukan oleh rakyat adalah menjadi tarikan pelancongan antarabangsa.


Oleh itu beliau sama sekali tidak menyokong rancangan kerajaan Umno-BN mahu memperkecilkan peranan Pasar Besar Kedai Payang dibayangi pembangunan bangunan hotel.
“Binalah hotel di tapak lain……. Kerajaan dah belanja ratusan juta tambak berpuluh hektar tanah, dah rampas bukan sedikit tanah orang Melayu dalam bandaraya Kuala Terengganu, bina lah di situ (diatas tanah yang dirampas),
“bila hotel prestij berada di tingkat atas dari pasar, maka Pasar Besar Kedai Payang akan terancam,”ujarnya.
Katanya, dengan penampilan hotel berprestij diletakkan dihadapan, pelbagai sekatan baru yang menekan peniaga Melayu seperti kadar sewaan yang tinggi, syarat ketat dalam penampilan kedai agar setaraf dengan tahap ‘bintang’ hotel terbabit.
Berita terkait sebelum ini;
Peniaga Basah Bantah Pindahkan Pasar Payang



























