Kesediaan Presiden PAS Berdialog Terbuka Wajar Dicontohi

996
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita11/TG%201%20Jam%20livea.jpg

Ini kerana, permintaan ini lahir dari hasrat Presiden PAS sendiri tanpa melalui sebarang syarat yang ketat dan sukar. Yang menghairankan, beliau diserang siang dan malam, kenapa kerajaan pula enggan membenarkan Presiden PAS itu tampil menjelaskan kenyataan beliau.

Kesediaan Presiden PAS untuk bertemu di kaca televisyen menunjukkan beliau berjiwa besar dan sanggup berlapang dada untuk bersemuka  sekalipun menghadapi pelbagai risiko sabotaj oleh pihak lain. Berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun berkali-kali didesak oleh rakyat.

Permintaan Presiden PAS untuk ‘on air’ di televisyen ada rasionalnya. Umum mengetahui media utama negara tidak pernah berpihak kepada pembangkang. Apa sahaja boleh terjadi sekiranya rakaman dibuat dengan pelbagai manipulasi dan suntingan. Lebih-lebih lagi ianya berlaku dekat dengan pilihanraya umum ke 13. Ada kebarangkalian keseluruhan ucapan Presiden PAS hanya tinggal beberapa minit sahaja selepas suntingan. Ini yang tidak diinginkan oleh Presiden PAS dan seluruh ahli PAS.

Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas dan jujur menangani isu amanat yang dikatakan mencetus polemik dan ‘perpecahan’ sesama umat Islam itu, mereka perlu memberi Presiden PAS peluang untuk memperjelaskannya. Kerajaan tidak perlu risau sekiranya kebenaran akan terserlah daripada siaran langsung itu. Jika Presiden PAS dipihak yang benar dan rakyat menerimanya, ia adalah untuk kebaikan umat Islam seluruhnya. Manfaat untuk umat Islam adalah lebih aula diutamakan daripada kepentingan politik sendiri. 

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia