DUNGUN – Dewan Muslimat PAS Terengganu perlu mengubah rentak gerak kerja dengan melaksanakan pendekatan lebih tersusun dan luar biasa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, seluruh kekuatan Muslimat perlu digerakkan bagi memastikan kesiapsiagaan jentera parti berada pada tahap terbaik menjelang PRU akan datang.
Menurutnya, empat perkara utama perlu diberi perhatian iaitu memperkukuh saf dan kesatuan, memperhebat gerak kerja akar umbi, memperluas dakwah serta penerangan dan melahirkan jentera yang cekal, berdisiplin serta istiqamah.
“Kita tidak boleh lagi bekerja secara biasa-biasa. Kita mestilah bangkit dengan semangat yang luar biasa.
“Saya mengajak semua yang ada di hadapan ini untuk kita bangkit bekerja secara luar biasa,” katanya ketika berucap pada Himpunan Muslimat PAS Negeri Terengganu 2.0, Teguh Memimpin Terengganu di Dewan Arena Square, Dungun, semalam.

Beliau berkata, gerak kerja akar umbi perlu diperkasa dengan mendekati, menyantuni dan memahami denyut nadi rakyat memandangkan PAS diamanahkan untuk memerintah negeri berkenaan.
Dalam masa sama, katanya, ahli PAS perlu turun ke bawah bagi memastikan masyarakat lebih memahami perjuangan Islam yang dibawa parti itu.
“PAS, ahli PAS mesti memasyarakatkan, turun ke bawah memasyarakatkan PAS kepada rakyat,” ujarnya.
Zarani turut mengingatkan Muslimat supaya tidak hanya berperanan sebagai peserta program, sebaliknya menjadi penggerak perubahan serta membawa risalah perjuangan Islam.
Beliau menambah, setiap anggota Muslimat perlu memainkan peranan masing-masing tanpa menunggu pihak lain untuk memulakan gerak kerja.

“Kita mungkin tidak mampu melakukan segala-galanya, tetapi setiap seorang daripada kita mesti melakukan sesuatu,” katanya.
Menurutnya, gerak kerja tersebut penting bagi memastikan PAS mampu mempertahankan kemenangan sedia ada pada PRU16, termasuk penguasaan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen di Terengganu.
“Muslimat Terengganu adalah pemacu kemenangan,” tambah beliau.








