Terengganu, Malaysia

Ridzuan Bawa Pengalaman 18 Tahun Khidmat Awam Untuk Berbakti Kepada Rakyat Bukit Katil

Ridzuan Bawa Pengalaman 18 Tahun Khidmat Awam Untuk Berbakti Kepada Rakyat Bukit Katil

MELAKA – Berbekalkan pengalaman selama 18 tahun dalam perkhidmatan awam, calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN N.17 Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif berhasrat memanfaatkan kepakaran dan pengalamannya untuk memberikan khidmat lebih dekat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan memasuki gelanggang politik selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya untuk terus berbakti kepada masyarakat.

“Hari ini bermulalah hidup baru bagi saya sebagai seorang calon.

“Maka, tempoh perkhidmatan saya dalam kerajaan tidaklah terlalu lama, lebih kurang 18 tahun, dan saya diberikan peluang untuk berkhidmat di tiga buah negeri, iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di Negeri Sembilan, dan juga di Melaka,” jelasnya dalam ceramah berkelompok Unit Daerah Mengundi (UDM) Bukit Beruang, semalam.

Ridzuan Bawa Pengalaman 18 Tahun Khidmat Awam Untuk Berbakti Kepada Rakyat Bukit Katil

Beliau menjelaskan, pengalaman dalam khidmat awam memberinya peluang untuk mengatur, mengurus dan merancang pelbagai program di peringkat negeri, termasuk dalam bidang kesihatan dan pencegahan penyakit.

“Selain itu, saya juga terlibat secara langsung dalam penguatkuasaan undang-undang termasuk prosedur kehakiman di mahkamah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pengalaman tersebut mahu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberikan tumpuan kepada keperluan penduduk, khususnya di Unit Daerah Mengundi (UDM) Bukit Beruang dan seluruh DUN Bukit Katil.

Katanya, jika sebelum ini tanggungjawabnya tertumpu kepada perkhidmatan di peringkat negeri, kini beliau mahu memberikan perhatian lebih khusus kepada masyarakat di kawasan yang bakal diwakilinya.

Sehubungan itu, beliau memohon kepercayaan dan peluang daripada pengundi Bukit Katil untuk membolehkan dirinya meneruskan khidmat bakti dalam ruang lingkup yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat.

“Saya memohon seluruh pengundi di DUN Bukit Katil memberikan saya peluang dan ruang untuk menabur bakti khusus kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian,” katanya.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan