Terengganu, Malaysia

Uzur Fizikal Bukan Ukuran Kemampuan Memimpin

SAVE_20261102_020205

KUALA NERUS – Keuzuran fizikal yang dialami seseorang pemimpin tidak seharusnya dijadikan ukuran tidak mampu memimpin apatah lagi menafikan jasa, pengalaman dan sumbangan terhadap perjuangan, sebaliknya ilmu serta hikmah yang dimiliki perlu terus dihargai.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Nerus, Ustaz Mohd Ridhuan Abdul Karim berkata, keadaan kesihatan Tuan Guru Presiden PAS yang kini menggunakan kerusi roda dan memerlukan bantuan untuk bergerak tidak sepatutnya dijadikan bahan cemuhan atau serangan peribadi.

Menurutnya, terdapat pihak yang mempertikaikan keupayaan Presiden PAS untuk terus memimpin susulan keadaan kesihatannya, malah kehadiran beliau pada hari penamaan calon turut dibandingkan dengan kehadirannya di Parlimen.

“Dah tahu tak mampu, tak payah memimpin. Begitulah lebih kurang cemuhan yang dilemparkan terhadap Tuan Guru Presiden apabila melihat keadaan beliau sekarang yang menggunakan kerusi roda dan perlu dipimpin untuk bergerak.

“Lebih malang apabila kehadiran Tuan Guru ke penamaan calon dibanding-bandingkan dengan kehadiran beliau ke Parlimen, sedangkan perkara seperti ini tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk menyerang peribadi seseorang pemimpin,”ujarnya melalui satu kenyataan, di facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, tidak berminat untuk menjawab satu persatu kecaman berkenaan kerana berpendapat pihak yang melakukan serangan sedemikian bukan benar-benar mahu mendapatkan penjelasan, sebaliknya menjadikan keadaan fizikal Presiden PAS sebagai ruang untuk terus mengkritik.

Dalam pada itu, beliau mengajak masyarakat melihat kembali sejarah beberapa tokoh besar kepimpinan PAS yang turut mengalami keuzuran ketika berada di penghujung usia, termasuk Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Allahyarham Tuan Guru Harun Taib dan Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.

“Tok Guru Nik Aziz ketika di penghujung hayatnya terpaksa membawa beg air kencing ke mana-mana, Tuan Guru Harun Taib pula pernah menggunakan kerusi roda, manakala Ustaz Azizan terpaksa menjalani pemotongan kedua-dua belah kaki akibat masalah kesihatan.

“Namun, keadaan fizikal mereka tidak pernah memadamkan jasa dan sumbangan yang telah diberikan kepada perjuangan. Mereka tetap dihormati kerana ilmu, pengalaman dan pengorbanan yang telah dicurahkan,” katanya.

Menurutnya, tokoh-tokoh berkenaan terus mendapat kepercayaan dan penghormatan ahli walaupun berhadapan keterbatasan fizikal kerana sumbangan seorang pemimpin tidak hanya bergantung kepada kemampuan dirinya bergerak atau melaksanakan tugas secara fizikal.

“Bukan kerana mereka mahu mempertahankan jawatan, tetapi ahli masih memerlukan mereka. Begitu juga Tuan Guru Presiden PAS, kami sebagai ahli masih memerlukan ilmu, hikmah dan pengalaman beliau dalam memimpin perjuangan ini.

“Sebagai orang muda, semangat dan pengorbanan pemimpin terdahulu inilah yang perlu kita contohi. Terus berkhidmat selagi hayat dikandung badan,” tegas beliau

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan