Terengganu, Malaysia
Kenyataan Media

PAS Sentiasa Beristiqamah Dan Berhikmah

PAS Sentiasa Beristiqamah Dan Berhikmah

Inilah dua aspek dalam perjalanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak ditubuhkan sehingga kini.

Beristiqamah dalam perkara prinsip, ketetapan, hukum, atau pegangan yang menjadi panduan tetap untuk bertindak. Dasar dan rukun hendaklah mengikut jalan lurus dalam perjalanannya berdasarkan Islam yang ditegaskan dalam Perlembagaan PAS berpandukan hukum tertinggi iaitu Kitab Allah (al-Quran), Sunnah Rasulullah SAW, ijmak para ulama’, dan qias yang nyata, mengikut Islam yang dianut oleh Melayu Islam sebagai majoriti penduduk Nusantara. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Jalan yang lurus itu bergantung pada doa yang dipohon kepada Allah pada setiap rakaat solat.

Berhikmah (bijaksana, matang, dan sejahtera) pula dalam perkara konsep secara anjal (fleksibel). Konsep ialah idea asas atau pengertian umum tentang sesuatu serta mengatur langkah, tindakan, dan perjalanan mengikut Islam yang sempurna berpandukan dasar yang tidak berubah, di samping pelaksanaan serta pengurusan mengikut situasi dan realiti yang berubah serta berbeza dalam kehidupan manusia. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ ١٢٥

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah serta pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah al-Nahl: 125]

Berdakwah Islam kepada seluruh manusia supaya mereka berpegang pada Islam (al-din) sebagai ajaran yang sempurna yang dibahagikan kepada aqidah, syariah, dan akhlak (Islam, iman, dan ihsan). Hal ini merangkumi peranan manusia yang diciptakan oleh Allah bertujuan ibadah, khilafah (politik), dan amanah untuk melaksanakan hukum Allah Yang Maha Adil, dengan politik mentadbir segala urusannya merangkumi diri, keluarga, masyarakat, dan negara, di samping ekonomi, pendidikan, dan lain-lain berkonsepkan siasah syar‘iyyah dan maqasid syar‘iyyah.

Berwawasan dunia sehingga akhirat bagi mencapai keredaan Allah dan menuntut Syurga yang dijanjikan-Nya. PAS tidak boleh memberikan Syurga kepada sesiapa kerana Syurga ialah kepunyaan Allah yang dijanjikan kepada sesiapa yang beristiqamah, beramal, dan berjihad menegakkan Islam agar mulia dan memerintah negara.

Berdakwah juga untuk menyelamatkan seramai-ramai manusia tanpa paksaan dan mendahulukan pemilihan cara damai berpandukan sabda Rasulullah SAW:

فَوَاللهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ ‌خَيْرٌ ‌لَكَ ‌مِنْ ‌حُمْرِ ‌النَّعَمِ.

“Maka, demi Allah, sesungguhnya kejayaanmu memberikan petunjuk kepada seorang sahaja mendapat hidayah (masuk Islam) adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (kenderaan yang paling mahal harganya)!” [Hadis muttafaq ‘alayh riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad wa al-Siyar, no. 2942 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, no. 2406, daripada Sahl bin Sa‘d. Lafaz bagi al-Bukhari]

Maka, PAS mengutamakan muwajahah silmiyyah (pendekatan damai) didahulukan, dengan memilih cara demokrasi dalam pelaksanaan dakwah dan siasah syar‘iyyah yang tidak berpisah. PAS bersedia berjihad dengan lisan dan tulisan bagi menghadapi apa sahaja cabaran dalam perjalanannya tanpa menyerah kalah dalam semua keadaan musuh yang paling zalim menentangnya.

Dalam aspek dasar yang mewajibkan beristiqamah, dibentuk Majlis Syura Ulamak (MSU) yang berpegang pada prinsip aqidah yang tidak berubah dalam perkara thawabit (nas yang ditetapkan oleh al-Quran dan al-Sunnah) serta berijtihad dalam perkara mutaghayyirat (yang mengalami perubahan) dalam kehidupan manusia serta dunia yang mengalami perubahan dan perbezaan.

Ciri istiqamah mengandungi perkara dasar dan rukun yang berkait dengan ketetapan Allah dalam perkara al-din, begitu juga fitrah yang ditetapkan menjadi rukun kehidupan manusia mengikut ketetapan Allah dalam aspek fitrah (tabii) yang ditetapkan oleh maqasid syar‘iyyah, demi menjaga rukun kehidupan manusia dari aspek agama, nyawa, akal, keturunan atau maruah, dan harta mengikut sempadan ketetapan Allah dalam perkara halal dan haram. Perkara ini menjadikan PAS tidak boleh dihanyutkan oleh pihak yang lain apabila bekerjasama dengannya.

Adapun ciri berhikmah diamalkan oleh PAS apabila menghadapi keadaan serta cabaran yang berubah dan berbeza dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat. Peranan ini diberikan kepada Dewan Harian dan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, kemudian dilaksanakan di peringkat negeri, kawasan, cawangan, serta lajnah dalam segala aspek kegiatan bermasyarakat.

PAS mengalami sendiri pengalaman dan mengambil iktibar daripada gerakan Islam pada sepanjang zaman dan di seluruh dunia.

Ilmu al-Quran menjadi panduan seperti sebab nuzul (penurunan wahyu), nasikh dan mansukh (hukum yang dibatalkan), serta dasar umum dan detil, di samping mengambil pengajaran daripada Sunnah dan sirah nabawiah serta para khulafa’ yang mengandungi iktibar yang banyak.

PAS berpengalaman menjadi pembangkang dan kerajaan dalam konsep demokrasi dan federalisme dengan kuasa yang terbatas dalam melaksanakan Islam mengikut kemampuan (istita‘ah) berpandukan firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ … ٢٨٦

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…” [Surah al-Baqarah: 286]

Firman Allah SWT:

فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُمۡ … ١٦

“Maka, bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu…” [Surah al-Taghabun: 16]

Hal ini berdasarkan pengalaman Najasyi, raja Habsyah yang memeluk Islam dalam keadaan menghadapi pemberontakan sebahagian rakyatnya.

Perkara ini juga berkonsepkan hadis Rasulullah SAW berkenaan peringkat pelaksanaan amar ma‘ruf dan nahi mungkar:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا ‌فَلْيُغَيِّرْهُ ‌بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ.

“Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Kalau dia tidak mampu, maka dengan lidahnya. Kalau dia tidak mampu, maka (membenci) dengan perasaan dalam hatinya, dan hal itu ialah selemah-lemah iman.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 49, daripada Abu Sa‘id al-Khudri]

PAS mengikut kedudukan politik sebagai kerajaan atau pembangkang serta menghayati konsep federalisme apabila menguasai kerajaan negeri atau kerajaan campuran di persekutuan dan negeri dengan kuasa yang terbatas. PAS mampu menangani pihak yang mencabul konsep federalisme berkonsepkan kaedah usul fiqh dan siasah syar‘iyyah:

‌مَا ‌لَا ‌يُدْرَكُ ‌كُلُّهُ، لَا يُتْرَكُ كُلُّهُ.

“Apa yang tidak dapat semua, tidak boleh ditinggalkan semuanya.”

PAS juga berpengalaman dalam pelaksanaan syariah di negeri-negeri yang diperintah seperti Kelantan dan Terengganu, kini di Kedah dan Perlis serta menjadi pembangkang di beberapa negeri. Hal ini termasuklah menghadapi pencabulan terhadap konsep demokrasi dan federalisme seperti dibatalkan royalti petroleum di Terengganu yang pernah dilaksanakan, dinafikan hak Kelantan, dilambatkan peruntukan yang wajib daripada kerajaan persekutuan sehingga menyulitkan urusan pentadbiran, dinafikan hak Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang, diskriminasi dalam pentadbiran, disekat kebebasan media, dan sebagainya.

PAS memilih kesabaran tanpa kekerasan kerana mempertimbangkan mudarat yang lebih menimpa rakyat yang tidak berdosa berkonsepkan siasah:

‌ارْتِكَابُ ‌أَخَفّ ‌الضَّرَرَيْنِ.

“Menanggung mudarat yang lebih ringan.”

PAS bersikap terbuka dengan pihak yang lain, termasuk bukan Islam dengan mengambil pendekatan tahaluf siyasi (kerjasama politik dengan bersyarat) atau ta‘awun siyasi (bertolong-menolong dalam perkara yang baik) dengan ikatan yang longgar secara terpilih.

Khusus dalam hubungan dengan bukan Islam, PAS berpandukan firman Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. [8] Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]

Sirah Rasulullah SAW mencatatkan bahawa Baginda pernah mengadakan tahaluf dengan bukan Islam dan membatalkannya apabila bercanggah dengan prinsip atau memberikan kesan yang negatif kepada perjuangan Islam.

Inilah antara masalah yang tidak difahami oleh mereka yang tidak berilmu Islam atau tidak bertafaqquh dalam urusan al-din, menyebabkan ada yang meninggalkan PAS atau menguji mereka yang oportunis bersama perjuangan Islam. Ada yang melompat ke parti lain dan ada juga yang menubuhkan parti lain. Firman Allah SWT:

الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣

“Alif lam mim. (1) Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedang mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1–3]

Firman Allah SWT:

لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ ٤٢ عَفَا ٱللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَتَعۡلَمَ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٤٣ لَا يَسۡتَـٔۡذِنُكَ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ أَن يُجَٰهِدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡۗ وَٱللَّهُ عَلِيمُۢ بِٱلۡمُتَّقِينَ ٤٤

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, ‘Jikalau kami sanggup, tentulah kami berangkat bersama-samamu.’ Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. (42) Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberikan izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzuran mereka) dan sebelum kamu mengetahui orang-orang yang berdusta? (43) Orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertaqwa. (44)” [Surah al-Tawbah: 42–44]

PAS tetap bersetia dan mematuhi syarat apabila bekerjasama dengan pihak lain dan diharamkan berkhianat kerana sabda Rasulullah SAW:

الْمُسْلِمُونَ ‌عَلَى ‌شُرُوطِهِمْ.

“Kaum Muslimin wajib mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan mereka.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Qada’, no. 3594, daripada Abu Hurairah]

Ditambah dalam riwayat al-Tabrani:

إِلَّا شَرْطًا حَرَّمَ حَلَالًا، وَأَحَلَّ حَرَامًا.

“Melainkan syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.” [Hadis riwayat al-Tabrani, al-Mu‘jam al-Kabir, Bab al-‘Ain, no. 30, daripada ‘Amr bin ‘Auf]

PAS tidak bermudah-mudah dan tidak bermain-main dalam kerjasama dengan semua atau boleh bertukar-tukar dengan mudah. Inilah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dengan pihak yang lain.

Para pemimpin PAS berpengalaman bersama gerakan Islam sejak sebelum penubuhan PAS lagi sama ada sebelum merdeka mahupun selepasnya. Contohnya, Dr. Burhanuddin al-Hilmi pernah diberikan kepercayaan untuk memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), iaitu campuran semua kumpulan Melayu pada zaman penjajahan ketika orang Melayu dipergunakan oleh penjajah untuk melawan Jepun, dan selepasnya melawan pemberontakan komunis yang pernah bekerjasama dengan penjajah British dalam menentang Jepun dan melibatkan orang Melayu bersama.

Dr. Burhanuddin berjaya mematahkan ramai orang Melayu yang memasuki hutan atas nama menentang penjajahan dan berperang. Pasukan keselamatan juga ramai daripada kalangan orang Melayu yang dipergunakan oleh penjajah British, padahal komunis juga penjajah. Keadaan ini menyebabkan orang Melayu bertempur sesama sendiri secara proksi kepada Blok Timur dan Blok Barat.

Dalam pilihan raya umum (PRU) 1955 prakemerdekaan, PAS yang memenangi satu kerusi pembangkang bekerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan kumpulan Islam untuk berjaya meletakkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun berbeza pendekatan pelaksanaan Islam selepas kemerdekaan, dalam keadaan masyarakat Melayu Islam tenggelam dalam kejahilan beragama tetapi tetap menganut Islam.

Ahli-ahli Parlimen PAS menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di parlimen bagi menentang komunis pada masa darurat selepas kemerdekaan demi keselamatan negara, walaupun PAS sering kali menjadi mangsa kezaliman ISA selepasnya.

PAS pernah bekerjasama dengan Parti Negara pimpinan Dato’ Onn Jaafar ketika menang tipis di Terengganu dengan satu kerusi Parlimen Kuala Terengganu kepadanya dalam PRU 1959. Selepasnya, Parti Negara dimatikan kerana kelemahannya sendiri setelah tiada lagi Dato’ Onn.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, PAS bekerjasama lagi dengan UMNO dalam kerajaan campuran 1973 bagi menyelamatkan negara, dengan bersama-sama menubuhkan Barisan Nasional (BN) pada masa pemerintahan Tun Abdul Razak Hussein.

Setelah itu, PAS juga pernah bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) pada tahun 1990, seterusnya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), dan parti-parti ‘nyamuk’ yang lain.

Dalam semua kerjasama bersama pihak lain, PAS tidak mudah membatalkannya. Berlaku pembatalan kerjasama sama ada parti lain itu membunuh dirinya sendiri, melanggar perkara yang menjadi dasar PAS, ataupun menyekat kegiatan PAS seperti pelaksanaan Islam di negeri yang diperintah atau menghalang amar ma‘ruf dan nahi mungkar.

Mereka yang meninggalkan PAS, sama ada tenggelam dalam gelombang gelora politik ataupun menjadi syaitan bisu. PAS terus mara dalam perjalanannya. Mereka yang menyalak PAS dalam perjalanannya laksana perumpamaan anjing menyalak bukit yang tidak berganjak atau laksana kata pepatah Arab:

‌الكلاب ‌تنبح والقافلة تسير.

“Kafilah (musafir) diteruskan sehingga sampai di destinasi, walaupun anjing menyalak,.” [Ahmad Mukhtar ‘Umar, Mu‘jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu‘asirah, jld. 3, hlm. 1857]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 22 Jumada al-Ula 1448 / 2 November 2026

[Bil: 70 / 2026]

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan