KUALA TERENGGANU – Isu kesihatan mental perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak dengan mengutamakan sokongan, kefahaman dan keprihatinan bagi memastikan individu yang berdepan masalah itu tidak dipinggirkan atau dihukum oleh masyarakat.
Pendekatan yang berteraskan empati dan kefahaman diharap dapat membantu mengurangkan stigma terhadap masalah kesihatan mental, sekali gus menggalakkan lebih ramai individu mendapatkan sokongan apabila diperlukan.
Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, mereka yang mengalami masalah kesihatan mental memerlukan ruang untuk mendapatkan bantuan tanpa berhadapan dengan stigma atau pandangan negatif masyarakat.
“kesediaan untuk mendengar dan memahami keadaan seseorang merupakan langkah awal yang penting dalam membantu mereka menghadapi cabaran kesihatan mental.” jelasnya.
Beliau yang juga Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Terngganu berkata demikian ketika menyempurnakan Forum Kesihatan Mental Sempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2026 pada Sabtu 24 Oktober.


Ustaz Wan Sukairi berkata, beliau memilih untuk berkongsi pengalaman secara langsung ketika berhadapan dengan rakyat yang mengalami masalah kesihatan mental, meskipun teks ucapan telah disediakan.
Katanya, perkongsian pengalaman sebenar mampu membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam realiti dan cabaran yang dilalui oleh individu berkenaan.
“kesihatan mental bukan sekadar tanggungjawab individu, sebaliknya memerlukan penglibatan keluarga, masyarakat dan semua pihak bagi mewujudkan persekitaran yang lebih prihatin serta menyokong.” tegas beliau.
Sehubungan itu, masyarakat diseru agar tidak menunggu sehingga sesuatu keadaan menjadi serius sebelum mengambil langkah untuk menghulurkan bantuan.
Menurut Wan Sukairi, tindakan mudah seperti memberikan perhatian, mendengar luahan dan menunjukkan keprihatinan boleh menjadi permulaan kepada usaha membantu seseorang yang sedang berdepan kesukaran.
Forum bertemakan “Dengari, Fahami, Hargai Perubahan” di Dewan Cendekiawan, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, membawa mesej bahawa kesedaran mengenai kesihatan mental perlu diperkukuh supaya masyarakat lebih memahami kepentingan sokongan emosi, penerimaan dan usaha mendapatkan bantuan yang sewajarnya.































