KOTA BHARU – PAS mengarahkan seluruh jentera parti mengambil langkah strategik bagi memenuhi prasyarat kemenangan menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, antara fokus utama PAS adalah memimpin agenda penyatuan ummah, mempertahankan kemenangan sedia ada khususnya di empat negeri yang dikuasai parti, selain memperluas pengaruh ke negeri sasaran.
Menurutnya, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang membentuk SG4 perlu terus dikekalkan penguasaannya, diperkukuh pentadbiran serta dilaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri.
“Setiap kerusi DUN dan Parlimen yang telah dimenangi dalam PRU-15 wajib dipertahankan, manakala Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis (SG4) sebagai ‘Negeri Pangkalan’ mesti terus dikekalkan penguasaannya.
“Ia perlu diperkukuh pentadbirannya serta dilaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Tahunan PAS kali ke 72 di PUTIK, Kelantan, hari ini.
Abdul Hadi menambah, segala pencapaian kerajaan negeri juga perlu disampaikan kepada rakyat dan pengundi menerusi mesej yang jelas serta pantas, khususnya bagi menangkis serangan fitnah dan menangani isu berkaitan kebajikan rakyat.
Dalam pada itu, beliau menggariskan Pahang, Perak dan Selangor sebagai negeri sasaran yang bakal menjadi penyumbang kepada kemenangan seterusnya PAS.
Katanya, perkembangan pengaruh PAS di Sabah dan Negeri Sembilan turut menjadi asas kepada usaha memperluas kemenangan parti pada pilihan raya akan datang.
“Kemenangan seterusnya akan disumbangkan oleh Pahang, Perak dan Selangor, sekali gus memperkukuh kerusi PAS dan PN di peringkat Parlimen, di samping melonjakkan pencapaian di Melaka yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” ujar Abdul Hadi.
Pada masa sama, Abdul Hadi menegaskan PAS perlu memberi perhatian serius terhadap segmen pengundi yang menjadi penentu kemenangan, termasuk pengundi atas pagar, pengundi pertama kali, golongan muda, pengundi luar dan golongan ilmuwan.
Beliau berkata, dalam sistem demokrasi, jumlah undi menentukan kemenangan dan usaha menarik sokongan pengundi perlu menjadi tugas utama seluruh jentera parti.
“Pengundi atas pagar yang cenderung beralih sokongan (swing voters) sebagai undi penentu perlu ditangani secara bersasar,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS menguasai maklumat berkaitan anak muda serta memaksimumkan penggunaan media baharu bagi mendekati golongan berkenaan.
Abdul Hadi turut menegaskan usaha penyatuan ummah perlu diperkukuh, namun pada masa sama hak masyarakat bukan Islam, keadilan dan kebebasan beragama dalam kerangka Perlembagaan perlu dihormati.
“PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara yang membawa kebaikan kepada negara tanpa menggadaikan dasar dan prinsip perjuangan,” katanya.
Tambah beliau, seluruh jentera PAS hendaklah bergerak untuk menembusi kawasan majoriti bukan Islam dan undi penentu di kawasan majoriti Islam.
“Drngan membuktikan kemampuan untuk menjuarai isu-isu rakyat, tadbir urus yang baik dan memberikan khidmat kebajikan,” tambah beliau.






























