KOTA BHARU – PAS terbuka untuk menjalinkan kerjasama politik dengan semua pihak, termasuk Umno, dalam usaha mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Presiden PAS, Dato Sri Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama berkenaan boleh dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan kerjasama sebelum berkembang kepada persefahaman dan bentuk kerjasama yang lebih kukuh.
“Kita mahu supaya pertahankan kuasa politik Melayu Islam, itu yang pertama.
“Yang kedua, kita tak abaikan orang bukan Islam,” jelasnya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kelantan hari ini.
Menurutnya, PAS mempunyai pengalaman menjalinkan kerjasama politik sejak era 1950-an dan 1960-an, termasuk kerjasama yang mempunyai perjanjian serta tanpa perjanjian.
Beliau menambah, pendekatan yang dicadangkan ialah kerjasama secara bertolong-tolongan dan bukannya semata-mata membentuk gabungan atau campuran politik.
Abdul Hadi turut menegaskan PAS tidak mahu mengetepikan masyarakat bukan Islam, sebaliknya mahu mewujudkan pemuafakatan antara Melayu-Islam dengan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Dengan semua pihaklah,” katanya ketika ditanya sama ada pendekatan kerjasama itu hanya melibatkan Umno atau parti-parti lain.






























