BACHOK – Pengiktirafan pimpinan PAS terhadap peranan Muslimat Muda khususnya Ameerah perlu diterjemahkan kepada gerak kerja yang lebih berkualiti dan berimpak.
Pengarah Ameerah Malaysia, YB Mardhiyyah Johari berkata, penegasan Naib Presiden PAS, YB Datuk Idris Ahmad dalam ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat Kali Ke-66 yang beberapa kali menyentuh peranan Muslimat Muda merupakan satu bentuk kepercayaan yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
“Bagi kami, apabila pimpinan memberikan pengiktirafan kepada Muslimat Muda, khususnya Ameerah, ia adalah satu kebanggaan dan suntikan semangat.
“Tetapi pada masa yang sama, ia adalah amanah. Kepercayaan ini mesti kita buktikan melalui usaha yang lebih gigih dan hasil kerja yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat Kali Ke-66 di Kompleks Pendidikan Islam, Bachok, hari ini.
Menurut Mardhiyyah, pengiktirafan tersebut tidak seharusnya menjadikan Muslimat Muda berasa selesa, sebaliknya perlu menjadi pencetus kepada peningkatan prestasi dan kualiti gerak kerja di semua peringkat.
Katanya, Ameerah perlu memastikan setiap perancangan bukan sahaja berjaya dilaksanakan, malah mampu memberi manfaat serta mendekati keperluan generasi muda.


“Bila kita diberikan kepercayaan, kita kena jawab kepercayaan itu dengan kerja. Bukan sekadar banyak program, tetapi bagaimana program itu memberi kesan dan membina anak muda.
“Ini menjadi motivasi kepada kami untuk terus memperbaiki kelemahan, memperkukuh pasukan dan menghasilkan gerak kerja yang lebih tersusun serta berkualiti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan Muslimat Muda perlu dibangunkan secara berterusan, khususnya dari aspek kepimpinan, penguasaan isu semasa, pendekatan dakwah dan keupayaan mendekati generasi baharu.
“Harapan kita ialah Muslimat Muda dapat terus menjadi tenaga penting dalam gerakan ini. Kita mahu anak muda bukan hanya menjadi peserta, tetapi tampil sebagai penggerak dan pemimpin yang mampu membawa mesej Islam kepada masyarakat dengan pendekatan yang sesuai.
“Insya-Allah, pengiktirafan pimpinan ini akan menjadi pembakar semangat untuk Ameerah bekerja lebih kuat dan membuktikan bahawa kepercayaan yang diberikan itu memang layak dipikul,” katanya.
Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat Kali Ke-66 berlangsung di Kompleks Pendidikan Islam, Bachok dengan menghimpunkan pimpinan dan perwakilan Dewan Muslimat PAS dari seluruh negara.






























