KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu memperkukuh keupayaan jentera penerangan melalui latihan penulisan politik dan kemahiran kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan pasukan penulis yang lebih berkemahiran sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Lujnah Penerangan PAS Terengganu, Ahmad Fahmi Mokhtar berkata, bengkel penulisan politik disertai lebih 20 peserta daripada jentera penerangan peringkat kawasan bagi meningkatkan kemahiran menghasilkan penulisan yang berkesan.
Menurutnya, penulisan merupakan antara kemahiran penting bagi jentera penerangan dalam menyampaikan maklumat berkaitan parti dan kerajaan negeri kepada masyarakat.
“Selain bengkel penulisan, kita juga telah mempersiapkan jentera dari sudut kemahiran AI menerusi siri jelajah ke hampir semua kawasan sepanjang tahun ini.

“Kita mahu jentera penerangan menguasai pelbagai kemahiran media sosial, khususnya dalam menghasilkan penulisan yang menarik dan mampu sampai kepada sasaran masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Kursus Kewartawanan Dan Penulisan Politik Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 di Kuala Ibai, semalam.
Tambahnya, pihaknya turut menyasarkan penglibatan seorang penulis utama bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), atau empat orang bagi setiap kawasan, untuk membentuk pasukan penulisan yang lebih tersusun.
Katanya, usaha itu bukan sahaja bertujuan membuat persediaan menghadapi pilihan raya, malah membina pasukan penulis yang lebih serius dalam membantu gerak kerja penerangan parti.

Tambah Ahmad Fahmi , pihaknya berharap peserta dapat terus meningkatkan kemahiran melalui latihan berterusan, selain menghasilkan penulisan berita dan kreatif yang berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap agenda yang dibawa.
“Teori itu penting, praktikal juga penting, tetapi yang lebih utama ialah selepas program ini, peserta perlu membiasakan diri menulis setiap hari.
“Seperti pepatah, alah bisa tegal biasa. Apabila kita selalu berlatih, insya-Allah penulisan akan menjadi lebih mudah dan kemahiran kita semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu mempercepatkan proses penulisan, namun sentuhan manusia yang merangkumi pengalaman, emosi dan gaya tersendiri tetap penting bagi memastikan mesej disampaikan dengan berkesan kepada pembaca.

Peserta kursus penulisan, Prushothini, 33, yang menetap di Puchong, Selangor berkata, penggunaan AI memudahkan penyediaan bahan penulisan, tetapi kemampuan menyampaikan emosi dan membina hubungan dengan pembaca memerlukan pendekatan yang lebih daripada sekadar menghasilkan teks dengan pantas.
Menurutnya, penyertaan dalam kursus berkenaan bertujuan memantapkan kemahiran menulis supaya maklumat dapat disampaikan dan sesuatu isu dapat dijelaskan dengan lebih berkesan.
“Penting untuk kita memahami sasaran pembaca (target audience) dan memilih pendekatan yang sesuai supaya mesej sampai dengan berkesan,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua format penulisan mempunyai kepentingan dan keperluan tersendiri, justeru penulis perlu memahami kaedah yang bersesuaian mengikut tujuan penyampaian.

“Ilmu ini sangat berguna dalam perjuangan kerana dengan teknik yang betul, kita dapat menerangkan dasar, usaha dan pendirian PAS dengan fakta yang sahih, di samping menjawab dakwaan serta menghakis persepsi negatif secara berhemah dan bertanggungjawab.
Mengakui tidak mempunyai latar belakang kewartawanan atau media, Prushothini berkata minat menulis sejak zaman persekolahan mendorongnya untuk terus menghadiri kursus dan bengkel bagi menambah ilmu serta mempelajari teknik penulisan yang lebih baik.
“Saya kini teruja untuk meneroka gaya penulisan sendiri dan berharap dapat membawa kelainan dalam cara penyampaian maklumat,” ujarnya.
Prushothini turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan tenaga pengajar atas perkongsian ilmu yang disifatkannya bermanfaat untuk meningkatkan kemahiran penulisan.









