MELAKA – Berbekalkan pengalaman hampir dua dekad dalam perkhidmatan awam dan penglibatan aktif dalam masyarakat, Haji Ustaz Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, 42, diketengahkan sebagai calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Beliau yang mempunyai latar belakang dalam bidang kesihatan persekitaran, penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan pekerjaan dilihat membawa pengalaman profesional serta khidmat kemasyarakatan sebagai antara kekuatan untuk mewakili penduduk DUN tersebut.
Dari sudut kerjaya, Muhammad Ridzuan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dari 2019 hingga 2026.
Beliau turut mempunyai pengalaman sebagai pegawai kesihatan persekitaran di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 2008, selain pernah bekerja sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sektor swasta pada 2006 hingga 2007.
Dalam bidang pendidikan, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Diploma Eksekutif Penguatkuasaan Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Kini, beliau sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam bidang Penguatkuasaan Undang-Undang dengan Keselamatan Siber di Kolej Universiti Vision.
Penglibatan Muhammad Ridzuan dalam masyarakat turut merangkumi bidang pendidikan Islam, kebajikan komuniti dan pembangunan setempat.
Beliau pernah menjadi pengurus PASTI Jaya Insan dari 2020 hingga 2024, selain berkhidmat sebagai Pengerusi dan Imam 1 Surau Ukhwah Islamiah, Taman Bukit Katil Permai sejak 2014.

Muhammad Ridzuan juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Katil Permai sejak 2014 serta Timbalan Pengerusi SRTI Hang Tuah Jaya sejak 2024.
Dalam kepimpinan organisasi, beliau turut menyandang jawatan Yang Dipertua Kelab Riadah Staf Sihat Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sejak 2023 dan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa CUEPACS Negeri Melaka dari 2022 hingga 2025.
Penglibatannya dalam PAS pula bermula sejak zaman universiti, dengan pengalaman dalam gerak kerja parti yang diteruskan sehingga kini.
Beliau kini merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Hang Tuah Jaya serta Ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri.
Sepanjang perkhidmatannya, Muhammad Ridzuan turut menerima beberapa pengiktirafan, antaranya Pingat Jasa Cemerlang (PJC) daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 2022 serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka pada 2021 dan 2013.
Muhammad Ridzuan mempunyai dua orang anak kini membawa aspirasi untuk berkhidmat kepada masyarakat Bukit Katil menerusi platform PAS dan Muafakat Melaka.
Dengan pengalaman dalam sektor kesihatan, pengurusan dan kepimpinan komuniti, pencalonan beliau menjadi sebahagian daripada usaha PAS mengetengahkan calon yang mempunyai latar belakang profesional serta pengalaman berkhidmat di peringkat akar umbi.








