Terengganu, Malaysia

Kemenangan PN-BN di Melaka Dalam Jangkauan, Bukan Igauan

Kemenangan PN-BN di Melaka Dalam Jangkauan, Bukan Igauan

MELAKA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yakin kerjasama politik antara PN dan Barisan Nasional (BN) mampu membuka laluan kepada kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan muafakat yang dibentuk antara kedua-dua gabungan serta gerak kerja jentera pilihan raya yang kini giat membuat persiapan menghadapi pertandingan.

“Insya-Allah, kita masuk bertanding untuk menang. Jadi itu perkara yang paling penting dan saya percaya jentera kita sedang bergerak ke arah itu.

“Dengan kerjasama muafakat Perikatan Nasional dan Barisan Nasional ini, saya percaya semua ini bukan igauan mimpi kita tetapi dalam jangkauan,” katanya.

Naib Presiden PAS itu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN bagi PRN Melaka ke-16 di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, di sini, malam tadi.

Kemenangan PN-BN di Melaka Dalam Jangkauan, Bukan Igauan

Mengulas kerjasama politik yang dinamakan Muafakat Melaka, Ahmad Samsuri berkata, persefahaman itu turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Muafakat Nasional serta beberapa pertubuhan lain yang menyokong usaha penyatuan berkenaan.

Menurutnya, kerjasama tersebut menjadi asas kepada penyelarasan gerak kerja politik dalam menghadapi pilihan raya kali ini.

Ditanya sama ada kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan boleh menjejaskan kerjasama PN dan BN di Melaka, beliau menolak kemungkinan tersebut.

“Saya rasa tidak ada, tidak ada kesan,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Samsuri berkata, pendekatan pengumuman manifesto PN dan BN akan diselaraskan sebelum dimaklumkan kepada umum apabila tempoh berkempen bermula.

Katanya, keputusan sama ada manifesto diumumkan secara bersama atau berasingan akan ditentukan berdasarkan strategi pilihan raya yang dipersetujui.

PRN Melaka kali ini menyaksikan PN diperuntukkan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN bertanding di 22 kerusi menerusi persefahaman politik antara kedua-dua gabungan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.

Kemenangan PN-BN di Melaka Dalam Jangkauan, Bukan Igauan

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan