Terengganu, Malaysia

PN-BN Sasar Bentuk Kerajaan Bersama di Melaka

PN-BN Sasar Bentuk Kerajaan Bersama di Melaka

MELAKA- Perikatan Nasional (PN) menyasarkan pembentukan kerajaan negeri bersama Barisan Nasional (BN) di Melaka menerusi kerjasama politik kedua-dua gabungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi PN, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama itu merupakan langkah awal untuk membina kekuatan politik menerusi agenda penyatuan ummah dan kebersamaan dengan seluruh masyarakat di negeri berkenaan.

Menurutnya, jentera PN bukan sahaja perlu bekerja keras di kawasan yang ditandingi gabungan itu, malah turut membantu calon BN bagi memastikan kemenangan bersama dapat dicapai.

“Bukan di tempat kita sahaja kita bertanding, tetapi juga di tempat rakan kita bertanding, supaya kemenangan besar boleh kita capai dalam pilihan raya di Melaka ini.

“Ia sebagai suatu testimoni bahawa kita sangat serius dalam agenda penyatuan ummah dan kebersamaan dengan seluruh masyarakat yang ingin menyokong kerjasama PN bersama BN,” jelasnya.

PN-BN Sasar Bentuk Kerajaan Bersama di Melaka

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN bagi PRN Melaka di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, malam tadi.

Pada majlis itu, Samsuri mengumumkan lima calon daripada enam kerusi yang akan ditandingi PN, manakala seorang lagi calon bagi kerusi DUN Kota Laksamana akan diumumkan kemudian.

Bagi kerusi N.13 Paya Rumput, PN mempertaruhkan Haji Rafie Ahmad daripada PAS yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu sejak 2019.

Beliau memiliki kelulusan Advanced Class A Gas Inspector, Gas Trade dari British Columbia Institute of Technology, Vancouver, Kanada serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, kerusi N.16 Ayer Keroh menyaksikan Datuk Seri Michael Gan Peng Lam daripada GERAKAN dipilih sebagai calon.

PN-BN Sasar Bentuk Kerajaan Bersama di Melaka

Beliau merupakan anak jati Melaka yang juga Pengerusi GERAKAN Negeri Melaka sejak 2018 serta Ahli Jawatankuasa Kerja GERAKAN Pusat.

Bagi kerusi N.17 Bukit Katil pula, PAS menampilkan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, 42, yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Hang Tuah Jaya sejak 2015 dan pernah memegang jawatan Ketua Pemuda PAS kawasan itu dari 2019 hingga 2021.

Beliau juga merupakan bekas penjawat awam yang pernah bertugas sebagai Ketua Bidang Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Melaka sebelum bersara bagi memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai calon pilihan raya.

Di kerusi N.19 Kesidang, PN menamakan Albert Kok Bun Chang daripada Parti Wawasan Negara (WAWASAN), seorang ahli perniagaan yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.

Beliau kini merupakan Timbalan Ketua Bahagian WAWASAN Kota Melaka.

Manakala bagi kerusi N.24 Bemban, PN mengekalkan penyandangnya, Dr Mohd Yadzil Yaakub daripada WAWASAN yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu bagi penggal 2021 hingga 2026.

PN-BN Sasar Bentuk Kerajaan Bersama di Melaka

Beliau merupakan seorang doktor perubatan yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Melaka dan kini Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan WAWASAN Negeri Melaka.

Samsuri berkata, PRN Melaka juga menjadi medan penting untuk membina momentum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang boleh berlangsung dalam tempoh setahun lebih lagi.

Katanya, semua jentera perlu mengelakkan sikap terlalu selesa dengan kedudukan politik semasa, sebaliknya terus bekerja sehingga proses pengundian dan pengiraan undi selesai.

“Kita bukan sekadar mahu menang majoriti mudah di kerusi yang ditandingi, tetapi mahu menjadikan Melaka sebagai asas penyatuan ummah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap calon yang diberikan amanah perlu melihat tanggungjawab berkenaan sebagai satu tugas besar, bukannya kemegahan.

Justeru itu, beliau turut mengingatkan jentera supaya berkempen secara tertib, berhujah berdasarkan fakta, menjaga adab serta menghormati pihak lawan.

Samsuri menambah, PN mahu menawarkan politik matang dan sejahtera, bersih serta bersungguh-sungguh membela kepentingan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan