DUNGUN – Kem Remaja Islam Solehah (KRIS 6.0) bukan sekadar pengisian ilmu tetapi platform dalam membentuk keyakinan, semangat kerja berpasukan dan kesedaran tanggungjawab pewaris kepimpinan masa hadapan.
Ketua Ameerah DUN Rantau Abang, Puteri Mariam Ansori setiap modul yang dijalankan sangat interaktif dan membuka ruang kepada peserta untuk berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan lebih berkesan serta mengasah potensi diri sebagai pemimpin masa hadapan.
“Usaha membentuk generasi muda yang berkualiti perlu diberikan perhatian serius kerana mereka merupakan aset penting dalam menentukan hala tuju masyarakat dan negara pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Puteri Mariam berkata demikian mengulas program yang diadakan pada 3 dan 4 Jun di Dewan Zainab Al-Idrus, Kubang Miang di sini.
Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang itu telah menghimpunkan seramai 40 peserta berusia antara 13 hingga 18 tahun dari DUN Rantau Abang dan sekitarnya merupakan acara tahunan setiap kali musim cuti sekolah.


Menurutnya , bertemakan “Remaja Muslimah, Harapan Ummah”, kem berkenaan memberi penekanan kepada pembentukan jati diri, pengukuhan kefahaman Islam serta pembangunan kemahiran kepimpinan dalam kalangan remaja.
“Penganjuran KRIS 6.0 membuktikan bahawa pembentukan pemimpin muslimah tidak boleh dilakukan secara bermusim, sebaliknya memerlukan usaha berterusan melalui pendidikan, tarbiah dan bimbingan yang berkesan sejak usia remaja.
“Pengisian yang disampaikan berjaya membuka minda peserta tentang peranan besar yang perlu dimainkan oleh golongan remaja dalam mempertahankan nilai agama dan membina masyarakat yang lebih sejahtera,”.ujarnya lagi
Mewakili penganjur beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang, sukarelawan serta pihak yang telah membantu menjayakan program ini.
” Semoga segala sumbangan dan pengorbanan yang diberikan mendapat ganjaran terbaik daripada Allah SWT,” tambahnya




























