Syariat Islam Untuk Mendidik, Bukan Zalim

94
To' Puan Hajah Zarani Othman

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) menegaskan bahawa sistem perundangan syariah di negeri itu digubal sebagai instrumen pendidikan dan pencegahan gejala sosial, bukannya untuk menzalimi atau mengaibkan mana-mana individu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi membidas tindakan SIS Forum yang mempertikaikan kewajaran hukuman sebat syariah terhadap dua pasangan kekasih di Penjara Marang esok, 7 Jun selepas kedua-dua pasangan muda tersebut gagal menjelaskan denda mahkamah atas kesalahan khalwat dan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Ketua DMPNT, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, kritikan yang dilemparkan oleh kumpulan hak asasi manusia itu adalah tidak adil kerana mereka hanya melihat undang-undang Islam secara sempit melalui sudut pandang hukuman semata-mata tanpa memahami falsafah syariat yang lebih luas.

Menurut beliau, undang-undang syariah digubal dan dilaksanakan bukan untuk menzalimi mana-mana individu, sebaliknya bertujuan untuk menjaga kesejahteraan serta kebaikan masyarakat yang lebih besar.

“Sebagai sebuah gerakan wanita Islam, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu percaya bahawa syariat diturunkan bukan untuk menzalimi manusia, sebaliknya untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta.

“Dalam konteks masyarakat hari ini, matlamat tersebut amat penting bagi melindungi institusi keluarga, menjaga maruah wanita, memelihara nasab keturunan, dan membentuk masyarakat yang lebih sejahtera,” jelas beliau menerusi kenyataan media rasmi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kegusaran SIS Forum terhadap kesan fizikal dan psikologi hukuman itu, Zarani menjelaskan bahawa sistem keadilan Islam tidak menjadikan hukuman sebagai matlamat utama, melainkan sebagai mekanisme pencegahan.

“Ia merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan dan pencegahan yang bertujuan mengingatkan masyarakat tentang batas-batas yang perlu dipelihara demi kebaikan bersama.

“Lebih besar daripada hukuman ialah usaha dakwah, pendidikan, tarbiah, dan pembinaan akhlak yang sentiasa menjadi keutamaan Islam,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menarik perhatian mengenai trend peningkatan gejala sosial, eksploitasi seksual, dan keruntuhan institusi kekeluargaan yang berlaku hari ini, di mana impak terburuknya lazimnya ditanggung oleh golongan wanita serta kanak-kanak.

Oleh itu, langkah memelihara nilai moral disifatkan sebagai satu tanggungjawab yang mendesak.

“Kami yakin bahawa syariat Islam yang dilaksanakan dengan adil, berhemah, dan penuh hikmah merupakan sebahagian daripada penyelesaian dalam membina masyarakat yang lebih bermaruah, berintegriti, dan sejahtera,” katanya