KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu terus memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif pendigitalan yang memudahkan urusan harian masyarakat.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkembangan teknologi membolehkan pelbagai urusan dengan pihak berkuasa tempatan dilaksanakan secara lebih mudah tanpa perlu hadir ke kaunter seperti sebelum ini.
Menurutnya, kebanyakan urusan yang dahulunya memerlukan orang ramai mengisi borang secara manual dan menunggu proses yang panjang kini boleh diselesaikan hanya melalui platform digital.
Beliau menyambut baik langkah yang diambil oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang melancarkan sistem permohonan kutipan sampah rumah ke rumah secara dalam talian, dikenali sebagai e-Kutip.
“Ini merupakan satu inisiatif yang memberikan kemudahan kepada rakyat untuk mengakses perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Majlis dengan lebih mudah, cepat dan cekap,” jelasnya.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri berkata demikian dalam laman sosialnya semalam.
Wan Sukairi berkata, pelaksanaan e-Kutip juga menjadi langkah penting ke arah pendigitalan perkhidmatan MBKT selaras dengan aspirasi Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu 2040 (Smart Terengganu 2040) yang menekankan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Justeru itu, beliau berharap segala infrastruktur dan inisiatif digital yang disediakan oleh MBKT dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat serta terus dipertingkatkan mengikut perkembangan teknologi semasa.
Katanya, usaha pendigitalan itu bukan sahaja mampu mengoptimumkan pengurusan dan meningkatkan produktiviti pihak majlis, malah memberi manfaat lebih besar kepada rakyat melalui perkhidmatan yang lebih pantas, cekap dan mesra pengguna.
“Agenda pendigitalan yang sedang dilaksanakan ini diharap terus menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar yang lebih pintar, mampan dan berdaya saing demi kesejahteraan seluruh warga Kuala Terengganu,” tambahnya.





























