Oleh : Ahmad Hilmi
BESUT – Daging daripada enam ekor lembu yang dikorbankan, diagihkan kepada penduduk setempat menerusi inisiatif Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, kelmarin.
Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) DUN Kota Putera, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pelaksanaan ibadah korban pada hari raya kedua itu digerakkan dengan penglibatan jentera kira-kira 10 orang petugas bagi setiap haiwan ternakan.
Beliau menjelaskan, setiap ekor lembu yang dikorbankan tersebut mempunyai anggaran karkas seberat antara 140 hingga 160 kilogram (kg) sebelum dilapah dan diagihkan kepada asnaf serta penduduk yang memerlukan.
“Kita bahagikan daging campur tulang seberat lebih kurang satu kilogram (kg) bagi setiap beg untuk diagihkan mengikut keperluan kepada enam atau tujuh buah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat.


“Antara kawasan JPKK yang menerima agihan ini termasuklah di Kampung Pengkalan Nyireh, Keluang, dan beberapa kawasan sekitarnya,” jelasnya ketika ditemui.
Menurut Mohd Nurkhuzaini, proses melapah dan membungkus daging berjalan dengan amat lancar susulan penglibatan golongan mahir dalam kalangan penduduk tempatan.
Beliau menambah, sekumpulan empat hingga lima tenaga pakar tempatan berjaya menyelesaikan keseluruhan urusan melapah dalam tempoh kira-kira satu jam sahaja.
Komitmen beliau sebagai wakil rakyat turut dizahirkan apabila beliau sendiri turun padang menyembelih lima daripada enam ekor haiwan tersebut pada sebelah malam kelmarin, manakala bakinya disembelih selepas waktu Zohor sebelum keseluruhan proses pengagihan selesai sepenuhnya sebelum waktu Maghrib.


Mengulas lanjut mengenai objektif penganjuran program, beliau menekankan bahawa ibadah korban bukan sekadar bertujuan meneladani kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, malah ia adalah satu didikan rohani untuk masyarakat menyucikan jiwa.
“Selain daripada membangkitkan semangat kecintaan dan pengorbanan, kita juga berhasrat untuk membuang sikap ego, sikap pentingkan diri sendiri, serta sikap yang tidak menghiraukan jiran dan tetangga,” ujar beliau lagi.
Beliau turut menzahirkan harapan agar pelaksanaan ibadah perngorbanan tersebut akan menjadi titik tolak kepada seluruh masyarakat di DUN Kota Putera untuk menghadapi ketibaan Tahun Baharu Hijrah kelak dengan iltizam dan semangat yang baharu, sejajar dengan gagasan pembangunan kerajaan negeri, “Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera”.






























