Muslimat ‘Tiang Seri ‘ Perjuangan Islam

39

Oleh ; Musfirah

KUALA TERENGGANU – Muslimat tiang seri perjuangan Islam dan peranan besar dalam dakwah, kebajikan dan pembangunan masyarakat.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, golongan hawa sentiasa menjadi kekuatan utama parti kerana kesungguhan dan komitmen mereka dalam gerak kerja jamaah.

Menurut beliau, Allah SWT telah menjelaskan dalam Surah At-Taubah ayat 71 bahawa lelaki dan wanita beriman saling membantu dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Peranan Muslimat sangat besar dan sentiasa diiktiraf pelbagai pihak kerana pengorbanan, kesungguhan serta komitmen mereka dalam gerak kerja dakwah dan kebajikan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu, pada Sabtu.

Beliau turut memuji kekuatan tarbiah dalam kalangan Muslimat PAS yang disifatkan mampu mendepani cabaran perjuangan semasa dengan penuh istiqamah.

Katanya, kejayaan program Ihya’ Lailatulqadar di Kuala Terengganu yang berjaya mengumpulkan hampir RM300,000 dalam tempoh kurang sebulan membuktikan kesungguhan Muslimat dalam membantu masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan perjuangan PAS bukan sekadar politik, sebaliknya usaha memastikan Islam dilaksanakan secara syumul dan menyeluruh dalam kehidupan.

Justeru itu, beliau menyeru Muslimat memperkukuh gerak kerja kebajikan dengan menyantuni masyarakat tanpa mengira fahaman politik atau latar belakang agama.

“Pendekatan kebajikan perlu dilakukan secara lebih dekat dengan memahami sendiri kesusahan rakyat dan membantu mereka secara langsung,” ujarnya.

Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, beliau mengingatkan saf kepimpinan Muslimat terus diperkasakan dan keharmonian jamaah dipelihara demi memastikan kekuatan parti kekal utuh.

Sementara itu, beliau turut menggariskan 10 ciri muwasafat tarbiyyah yang perlu dimiliki setiap Muslimat antaranya akidah sejahtera, ibadah sahih, akhlak mulia, disiplin mengurus masa dan mampu memberi manfaat kepada orang lain.