Tindakan Pimpinan Keluar Parti, Rakyat Hilang Kepercayaan

14

SETIU – Tindakan beberapa pemimpin dan ahli keluar daripada parti PKR disifatkan sebagai gambaran rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap perjuangan reformasi yang gagal ditunaikan.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, YB Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata, PAS berbeza dengan parti lain kerana perjuangannya dibina atas asas tarbiah, dakwah dan siasah yang bergerak secara seimbang.

Menurut beliau, setiap ahli yang menyertai PAS perlu melalui proses pentarbiahan termasuk penglibatan dalam usrah bagi membentuk kefahaman perjuangan Islam.

“PAS parti tarbiah, parti dakwah dan parti siasah. Fokusnya mesti melalui proses tarbiah. Yang baru masuk bersama PAS, kita letak sama-sama dalam usrah.

“Memang PAS tak sama dengan parti-parti lain,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu kali ke 43 di Kompleks Tarbiyyah Luqmanul Hakim, Guntong Luar, Sabtu.

Beliau turut menyindir kemunculan sebuah parti baharu yang menggunakan simbol kancil, sambil mengaitkan haiwan itu dengan sifat licik dan penipuan dalam cerita rakyat.

Katanya, PAS tidak mahu budaya politik berasaskan tipu daya dan janji kosong menjadi amalan dalam perjuangan politik negara.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada kumpulan pemimpin yang berani meninggalkan parti lama selepas kecewa dengan kegagalan menunaikan janji reformasi kepada rakyat.

“Selama ini mereka menabur janji dan reformasi tetapi hakikatnya tidak melaksanakan serta tidak mengotakan janji tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, pelbagai pendedahan dan luahan daripada bekas kepimpinan parti berkenaan turut membuka lebih banyak persoalan mengenai hala tuju perjuangan mereka sebelum ini.