Ulama Tekankan Kebersihan Dalam Pengurusan Sisa Ibadah Korban

66

KUALA TERENGGANU – Umat Islam diingatkan supaya memberi perhatian serius terhadap aspek kebersihan dalam pelaksanaan ibadah korban bagi memastikan kesejahteraan masyarakat tidak terjejas.

Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, Islam sangat menitikberatkan kebersihan dan umat Islam perlu memastikan sisa sembelihan seperti darah, tulang dan najis diurus dengan baik.

Beliau menegaskan, walaupun sisa tersebut boleh dilupuskan melalui tong sampah, kaedah lebih baik ialah dengan menanamnya bagi mengelakkan bau busuk dan gangguan kepada orang ramai.

“Ibadah korban bukan sahaja tuntutan ibadah, malah perlu dilaksanakan dengan menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi, hari ini.

Dr Wan turut mengingatkan bahawa Islam adalah agama yang mengutamakan kebersihan selaras dengan prinsip “kebersihan sebahagian daripada iman”.

Penekanan itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menguruskan ibadah korban secara lebih teratur dan mesra alam.