Bersatu Sekat Parti Melayu Islam Sertai PN

64

MARANG – PAS menyenaraikan tindakan Bersatu yang menolak kemasukan parti-parti Melayu Islam serta parti bukan Islam tidak ekstrem ke dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai antara punca parti itu mula hilang sabar terhadap rakan gabungannya.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pendirian PAS adalah untuk memperluaskan PN dengan membuka ruang kepada lebih banyak parti menyertai gabungan itu selaras agenda penyatuan ummah.

Namun katanya, hasrat tersebut tidak dipersetujui Bersatu.

“Dia tak setuju ahli baharu dalam Perikatan Nasional ini.

“Sedangkan kita nak banyakkan lagi ahli Perikatan Nasional. Tiba-tiba dia tolak.

“Ini tidak menyenangkan dan tidak menenangkan kita,” katanya dalam sidang media di Rusila hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang tersebut, perkara itu bukan satu-satunya isu yang menimbulkan rasa tidak senang PAS terhadap Bersatu.

Beliau berkata, PAS juga mengambil kira tindakan ADUN Bersatu di Negeri Sembilan yang menarik balik akuan bersumpah (SD) bagi menyokong undi percaya terhadap pembentukan kerajaan negeri.

Katanya, tindakan itu dianggap melanggar semangat setia kawan antara parti dalam PN.

“Dia tarik SD itu, dia batalkan. Kita anggap ini satu langkah yang melanggar setia kawan antara kita.

“Alasan-alasan yang diberi kita tak boleh terima. Sebab UMNO pun tak tarik. UMNO tak tarik, mengapa Bersatu tarik?” katanya.

Menurutnya, PAS sebelum ini memilih untuk bersabar demi menjaga perpaduan PN.

Namun kata beliau, selepas beberapa isu berulang termasuk di Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan, PAS akan menilai semula tindakan Bersatu satu persatu.

“Kita masih sabar kerana nak jaga perpaduan Perikatan Nasional ini.

“Bila berlaku di Negeri Sembilan macam ini, kita akan kaji. Kita akan bincang apa yang kita nak buat,” katanya.

Ditanya sama ada PAS kecewa dengan Bersatu, Hadi berkata parti itu tidak kecewa, sebaliknya masih bersabar.

Bagaimanapun, beliau memberi isyarat jelas bahawa kesabaran PAS ada hadnya.

“Kecewa? Kita sabar.

“Kita tak kecewa, kita sabar.

“Dan sabar ada batas,” katanya.

Tambahnya lagi, kajian terhadap hubungan dengan Bersatu akan mengambil kira semua aspek, termasuk kesannya terhadap gerak kerja pilihan raya.

Katanya, pilihan raya semakin hampir dan PAS perlu menilai sama ada tindakan rakan gabungan itu boleh menjejaskan persiapan PN.

“Kalau menjejaskan pergerakan pilihan raya, kita akan bertindak mengikut apa yang sepatutnya,” katanya.

Bagaimanapun, Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan PAS masih berada dalam PN dan kekal sebagai pengerusi gabungan itu.