Muslimat Gesa Pesta Air Dikaji Semula

42

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Terengganu menggesa kerajaan membatalkan atau merombak semula format penganjuran program Pesta Air agar selari dengan nilai masyarakat, memelihara alam sekitar serta mengangkat identiti negara.

Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, usaha menarik pelancong dan merancakkan ekonomi sememangnya positif, namun pendekatan penganjuran program tersebut perlu diteliti secara menyeluruh bagi mengelakkan implikasi negatif terhadap masyarakat dan alam sekitar.

Menurut beliau, antara kebimbangan utama ialah isu pembaziran sumber air ketika negara berdepan cuaca panas serta ketidaktentuan taburan hujan, yang berpotensi menjejaskan bekalan air dan kelestarian alam.

Selain itu, katanya, penganjuran pesta air terbuka juga berisiko membuka ruang kepada pergaulan bebas serta pelanggaran adab dalam kalangan peserta, yang bertentangan dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan masyarakat Malaysia.

“Budaya hiburan yang tidak terkawal boleh menghakis nilai malu dan adab dalam masyarakat, sedangkan Islam menekankan kepentingan akhlak dalam setiap aspek kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada alternatif pelancongan yang lebih beridentiti tempatan seperti ekopelancongan keluarga, karnival kebudayaan serta sukan air tradisional yang lebih sesuai dan inklusif.

Tambahnya, pendekatan tersebut bukan sahaja mampu menarik pelancong, malah dapat memupuk perpaduan masyarakat serta memelihara sensitiviti budaya dan agama.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menilai semula penganjuran ‘Pesta Air Malaysia’ yang dirancang oleh Kementerian Pelancongan kerana dilihat bercanggah dengan nilai kesopanan serta prinsip kelestarian alam.