Larangan Berjual Beli Ketika Khutbah Jumaat Masih Kurang Dipatuhi

77
Haji Hamidi Jusoh

KUALA TERENGGANU – Amalan berjual beli ketika khutbah Jumaat berlangsung masih berlaku dalam kalangan masyarakat, meskipun ia bertentangan dengan tuntutan agama yang mewajibkan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya kepada khutbah.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus, Haji Hamidi Jusoh berkata, situasi tersebut sering dilihat setiap minggu apabila kehadiran jemaah yang ramai turut disertai dengan aktiviti perniagaan di luar masjid berterusan walaupun khutbah telah bermula.

Menurut beliau, walaupun usaha mencari rezeki amat digalakkan, namun apabila masuk waktu khutbah Jumaat, keutamaan perlu diberikan kepada kewajipan mendengar khutbah khususnya bagi lelaki Islam yang diwajibkan solat Jumaat.

“Kadang-kadang kita nampak suasana biasa setiap hari Jumaat, ramai yang mari ke masjid, suasana meriah, dan di luar pulok ada peniaga yang mencari rezeki.

Dalam keadaan ekonomi semasa, itu semua baik, mari kita pakat-pakat bantu dan sokong peniaga kecil yang mencari ‘sesuap nasi’ , tapi ada satu perkara yang mungkin kita terlepas pandang.

Bila khutbah dah bermula, waktu itu bukan lagi masa untuk berjual beli. Khutbah Jumaat bukan sekadar rutin, tapi satu peringatan penting untuk kita semua,” jelasnya dalam laman sosialnya semalam.

Justeru itu, beliau menyeru kepada para peniaga khususnya kaum adam agar berhenti sekejap dalam berurusan perniagaan dan mendengar khutbah.

Selain itu, Hamidi turut mencadangkan agar pihak pengurusan masjid memainkan peranan lebih proaktif dengan memberi peringatan awal kepada peniaga dan jemaah sebelum khutbah bermula, selain memasukkan elemen teguran dalam teks khutbah bagi meningkatkan kesedaran.

“Kadang bukan sengaja, mungkin ada yang kurang peka atau tak sedar.

“Dengan sedikit teguran yang berhikmah, insyaAllah boleh bantu semua pihak lebih faham dan hormat waktu khutbah,” ujarnya.

Tambahnya, pendekatan berhikmah amat penting bagi memastikan mesej dapat disampaikan tanpa menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peniaga kecil yang bergantung kepada sumber pendapatan harian.

“Rezeki itu luas, tetapi keberkatan lebih utama. Berniaga memang penting, namun menjaga tuntutan agama adalah lebih besar nilainya,” ujarnya.

Beliau berharap masyarakat dapat saling mengingatkan antara satu sama lain supaya suasana Jumaat lebih tertib, tenang dan dipenuhi keberkatan.